Wednesday 27 March 2013

Nabi SAW Mengajar Saidina Ali RA Cara Hafaz Qur’an


Nabi SAW Mengajar Saidina Ali RA Cara Hafaz Qur’an




Abdullah bin Abbas ra berkata, Saya pergi ke majlis Nabi saw dan di sana Ali ra telah datang dan berkata : Wahai Rasulullah, saya mengorbankan ayah dan ibu saya untuk Tuan, ayat-ayat al-Quran tidak melekat pada hati saya. Apa-apa sahaja yang saya hafal tidak kekal dalam ingatan.

Nabi saw bersabda : Hendakkah saya memberitahu kamu dan kepada sesiapa yang kamu akan sampaikan tentang hal ini serta apa-apa sahaja yang kamu pelajari akan terpelihara dalam ingatanmu?

Di atas permintaan Ali ra, Nabi saw memberitahu :
Apabila tiba malam Jumaat, sekiranya kamu mampu, bangunlah pada satu pertiga bahagian akhir malam. Masa itu adalah masa yang paling baik kerana masa itu adalah masa para malaikat turun ke bumi dan masa yang khusus untuk penerimaan doa. Untuk menunggu masa tersebutlah Ya’akub as berkata kepada anak-anaknya yang bermaksud : Tidak lama lagi aku akan memohon keampunan untuk kamu daripada Tuhanku (yakni malam Jumaat).

Sekiranya susah untuk bangun pada malam itu,  maka bangunlah pada pertengahan malam. Sekiranya itupun anda tidak mampu, maka berdirilah berdirilah mengerjakan solat sunat empat rakaat pada permulaan malam. Caranya ialah :

Pada rakaat pertama setelah membaca surah al-Fatihah, bacalah surah Yaasin.
Pada rakaat kedua setelah membaca surah al-Fatihah, bacalah surah ad-Dukhaan.
Pada rakaat ketiga setelah membaca surah al-Fatihah, bacalah surah Alif-lam-mim al-Sajadah.
Pada rakaat keempat setelah membaca surah al-Fatihah, bacalah surah al-Mulk.

Setelah memberi salam, pertama kamu hendaklah memuji Allah swt sebanyak-banyaknya kemudian hendaklah kamu berselawat ke atasku. Selepas itu beristighfarlah untuk semua orang mukmin dan semua saudara Islam yang telah meninggal dunia sebelum anda. Selepas itu bacalah doa ini :

”Ya Allah, rahmatilah daku sehingga daku dapat meninggalkan segala maksiat selama Engkau menghidupkan daku. Rahmatilah daku supaya daku tidak menanggung apa-apa beban yang tidak memberi manfaat kepadaku. Kurniakanlah kepada daku pandangan keredhaanMu. Wahai Tuhan yang mencipta langit dan bumi, wahai Tuhan yang memiliki kehebatan dan kemuliaan serta kehormatan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh sesiapapun. Wahai Allah, wahai Yang Maha Pemurah, aku memohon dengan kehebatan dan nur wajahMu supaya Engkau menetapkan hatiku untuk menghafal kitabMu sebagaimana Engkau telah mengajarku. Dan kurniakanlah (taufik) supaya daku dapat membaca al-Quran dengan cara yang menyebabkan Engkau redha terhadapku. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang memiliki kehebatan, kemuliaan dan kehormatan yang tidak dapat dicapai (oleh sesiapapun), wahai Allah dan wahai Tuhan yang Maha Pemurah, aku memohon dengan kehebatan dan nur wajahMu supaya Engkau mencahayakan penglihatanku dengan nur kitabMu dan Engkau menggerakkan lidahku untuk menyebut al-Quran dan Engkau menghilangkan kesempitan hatiku dengan keberkatan al-Quran dan Engkau melapangkan dadaku dengan keberkatan al-Quran (daripada kekotoran dosa) kerana sesungguhnya tiada pembantu bagiku ke atas perkara yang haq (benar) kecuali Engkau dan tidak ada yang mengurniakan perkara haq itu (kepadaku) kecuali Engkau. Dan tiada daya (untuk melakukan sebarang kebaikan) dengan tiada upaya (untuk menjauhi sebarang kejahatan) kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.

Selanjutnya Rasulullah saw bersabda : ”Wahai Ali, lakukanlah amalan itu sama ada tiga kali Jumaat, lima kali atau tujuh kali, insya-Allah doa kamu pasti akan dikabulkan. Demi zat yang mengutuskan daku dengan kebenaran, doa ini tidak akan ditolak daripada mana-mana mukmin”.

Abdullah bin Abbas ra berkata : Setelah berlalu lima atau tujuh minggu, maka Ali ra telah datang ke majlis Nabi saw dan berkata ”Wahai Rasulullah, dahulu saya membaca lebih kurang empat ayat, itupun saya tidak dapat mengingat sedangkan sekarang saya membaca empat puluh ayat dan ayat-ayat itu dapat saya ingati sehingga seolah-olah al-Quran terbuka di hadapan saya. Dahulu saya mendengar hadith dan selepas itu saya cuba mengulangi hadith itu namun, hadith itu tidak kekal dalam ingatan saya. Sekarang, setelah saya mendengar hadith, apabila saya ingin menyampaikan hadith itu kepada orang lain, satu huruf pun saya tidak tertinggal”

No comments:

Post a Comment