Wednesday 27 March 2013

Biarkan cinta itu mewangi


Biarkan cinta itu mewangi



Assalamualaikum w.b.t.
images
“Jadi kakak tak mahu terima lamaran Is?”
“Tak umi, kakak tak boleh terima abang Is.”
“Walaupun kakak juga ada perasaan pada Is?”
Terkedu sebentar diriku. Tidak menyangka pertanyaan itu terbit dari bibir umi. Benarlah, hanya ibu mengenal anak.
Aku mengeluh perlahan. Dilontarkan juga kata walau terpaksa. 
“Ya umi, walaupun kakak juga dah lama sukakan dia.”
Bergenang air mata cuba kusembunyi. Hanya Allah saja yang tahu apa sebenarnya rasa ini.
‘Ya Allah, berilah kekuatan pada hamba-Mu ini.’
“Kakak tahu umi, semua orang pun rasa pelik kenapa kakak tolak abang Is. Dia sangat baik pada keluarga kita, sangat baik pada kakak. Dia juga hadir dengan sangat bermaruah, memohon izin dari umi dan ayah untuk mengambil kakak sebagai isteri. Zahirnya, keberanian dan kebaikan abang Is juga memaut hati kakak padanya.”
“Tapi ada satu perkara yang buat kakak terpaksa tolak dia umi.”
“Apa dia kak? Umi rasa abang Is dah cukup sempurna untuk kakak. Apa lagi yang kakak nak?” 
Kekecewaan umi jelas terpancar di wajahnya. Tetapi soalan yang mendesak juga membuat aku terpaksa bicara, biarpun hatiku juga luluh berbisa peritnya.
“….kerana agamanya umi.”
Kerana Agama
Aku nekad dalam diri. Biar bagaimanapun cinta itu tumbuh, ia perlu dipertahankan dengan sesuatu. Cinta itu fitrah. Cinta juga boleh datang dan pergi. Cinta boleh hilang dan berganti. Justeru, apa yang aku rasa sekarang tidak lebih dari sekadar ujian hati dan ujian keimanan untuk memilih antara dua jalan. Jalan derita atau bahagia pada akhirnya. Jalan cinta dengan agama atau cinta dusta semata-mata.
Aku memilih jalan cinta dengan agama. Biarlah cinta itu mekar dan mewangi dengan bimbingan agama. 
‘Dia memang baik. 5 tahun menaruh harapan padanya bukan sesuatu yang mudah untuk aku hadapi. 5 tahun juga aku mengharapkan perubahan dirinya. Tetapi akhirnya aku putus asa kerana dia masih seperti dulu.’
Aku tidak yakin dia boleh membimbingku,, hasil istikharah juga membuat hatiku berat menerima walaupun jelas ada perasaan halus dalam hati untuknya.
Ya Allah, jika benar dia yang terbaik untukku, dekatkanlah cepat ataupun lambat. Jika dia benar bukan yang terbaik untukku, jauhkanlah Ya Allah cepat atau lambat. Aku mohon dengan segala kerendahan hatiku.
Aku tolak lamarannya. Yakin biarpun pedih. Maafkan aku.
….
Aku tahu cinta tidak semestinya memiliki. Cinta tidak semestinya tumbuh cinta selamanya. Tidak cinta tidak semestinya pudar cinta selamanya. Cinta boleh dipupuk jika aku terpaksa mengahwini seseorang yang tidak aku cinta. Sebaik saja akad nikah, aku yakin perasaan itu akan wujud pada suamiku dengan izin Allah. 100% yakin. 
Talking to that person in the mirror;
“Pilihlah yang beragama bukan yang anda cinta semata-mata. Cinta akan pudar. Tetapi jika didasari dengan agama, insyaAllah ia akan mekar mewangi selama-lamanya.”
….
Abang Is masih dalam lena yang panjang. Entah bila dia akan sedarkan diri, aku juga tidak tahu. Sesekali ku bisikkan ke telinganya;
“Abang Is, ingat Allah ye abang Is.. hanya Allah yang dapat bantu Abang Is.”
Ya Allah, berikanlah yang terbaik untuk dirinya. Jika takdirnya dia pergi ya Allah, kurniakanlah dia husnul khotimah. Jika takdirnya kembali pada kami Ya Allah, kurniakanlah cahaya hidayah dan taufik untuk dirinya kembali kepada cinta-Mu ya Allah. Amin.
….
‘Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan, cinta bukan mengajar kita menghinakan diri tetapi menghembus kegagahan, cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan semangat dan cinta ini mampu menggugat keimanan malah meningkatkan keimanan.’ -Hamka
Salam kasih
;-)

No comments:

Post a Comment