Wednesday 27 March 2013

Kasih sayang sesama manusia perlu dicetuskan dari Kalimah Tauhid.


Kasih sayang sesama manusia perlu dicetuskan dari Kalimah Tauhid.

Salam semua.

Minda saya hari ini terlintas sebaris ungkapan mauduk di atas sambil berfikir-fikir apa yang hendak ditulis dan disampaikan di laman ini. Ya, kasih sayang di antara kaum atau sesama manusia perlu dicetuskan dan didatangkan dari Kalimah Tauhid yang sedia tersemat di dalam hati orang Islam.
 Sememangnya orang Islam tiada pilihan lain kerana itu adalah sebahagian daripada pengakuan Syahadah mereka.Hidup dan mati kerana Allah.Maksudnya menguruskan kasih sayang itu dengan membatasi hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Islam, kasih sayang sesama manusia, kasih sayang manusia dengan haiwan dan alam sekitar semuanya terkandung dan tercatat panduannya di dalam al.Quran dan al.Hadis.

Hak-hak kasih sayang itu perlulah diberikan tanpa melampaui batas-batasnya.Pelaksanaan kasih sayang tersebut dengan merujuk kepada Kitab Allah atau Kalam Allah itulah yang dimaksudkan kasih sayang yang tercetus dan datangnya dari Kalimah Tauhid. Kasih sayang atas rasa takut dan patuh kepada Allah dalam lingkungan taat dan taqwa.
Ikhlas dan ihsan.

Pengakuan yang dimaksud terkandung di dalam doa iftitah.
"Segala Kebesaran dan Kepujian adalah untuk Allah sebanyak-banyaknya.
Maha Suci Allah setiap pagi dan petang.
Aku menghadapkan mukaku kepada (Tuhan) yang menjadikan langit dan bumi,
dengan keadaan tunduk menyerah diri dan bukannya aku termasuk dalam gulungan orang musyrik.

Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku hanya untuk Allah Semesta Alam.
Tiada Sekutu Baginya 
kerana itu aku rela diperintah dan aku ini adalah termasuk gulungan orang Islam". 

Allah akan menilai cara hidup manusia , sama ada cara mereka mengurus kasih sayangnya sesama manusia dan lain-lain, juga akan dinilai persediaan serta bekal yang akan dibawa ke alam kematian. Di dalam kehidupan manusia akan terlibat semua perkara tersebut. Kasih sayang sesama manusia sangat penting di dalam melayari hidup harian. Manusia memerlukan di antara satu sama lain, kebolehan dan kemahiran berbeza menyebabkan mereka memerlukan di antara satu sama lain bagi memenuhi tuntutan hidup masing-masing.

Kehidupan manusia berbeza berbanding dengan kehidupan haiwan yang hidup di dalam hutan, di mana setengah daripada mereka menjadikan binatang yang lain sebagai makanan mereka, mereka berkawan mengikut puak masing-masing. Oleh itu kasih sayang orang Islam sesama Islam dan bukan Islam semuanya wajib mematuhi ajaran Islam, dengan cara ini orang Islam tidak akan melanggar hukum hakam atau batasan yang telah ditetapkan.Tiada asas dan rujukan lain yang boleh menjadi panduan orang Islam, jika orang Islam cuba mendapatkan panduan yang lain untuk memantapkan kasih sayang atau perpaduan sesama manusia, akhirnya amalan mereka akan rapuh dan musnah.

Sekian...wallahu aklam

No comments:

Post a Comment