Wednesday 27 March 2013

CICIPAN IMAN DARI YANG DERHAKA


CICIPAN IMAN DARI YANG DERHAKA

04DIS
anak_miskinUsai program Mukmin Profesional di IKIM, baru-baru ini, ramai yang datang menemui saya di bahagian belakang dewan. Mereka  bertanya itu dan ini… pelbagai soalan, masalah dan rintihan menerjah. Saya setia menjadi pendengar. Kekadang masalah yang dikemukakan sama seperti yang pernah saya hadapi, sedang hadapi atau mungkin juga akan saya hadapi nanti.
Kekadang saya juga kelu dan kaku untuk memberi respons. Dalam hati, cuma berdoa. Di luar saya tersenyum dan menaburkan empati. Mudah-mudahan saya ikhlas… Saya tidaklah lebih baik daripada mereka, cuma apabila berdakwah kita dituntut untuk memberi ingatan dan nasihat… untuk diri sendiri dan orang lain. Dalam banyak-banyak soalan, rintihan dan masalah, ada satu yang sangat menyentuh hati saya. Dalam tangisan, wanita itu menceritakan masalahnya. Bukan dia sahaja yang menangis, tetapi teman di sebelahnya juga menangis. 
Ya Allah, saya tidak berdaya untuk membantu. Cuma menjadi pendengar, mendoakan dan berpesan dengan kata-kata yang baik. Selepas solat Asar, saya mencarinya untuk saya hadiahkan sebuah buku tulisan sendiri yang ada menyentuh persoalannya secara langsung atau tidak langsung. Namun, dalam pencarian itu, saya tertahan oleh individu-individu yang lain. Dia telah pulang bersama sahabat-sahabatnya. Atas keterbatasan itu, maka saya nukilkan tulisan ini sebagai ‘jawapan’ yang sederhana kepada pemasalahannya. Saya kerap katakan, dalam buku-buku saya sudah ada jawapan pada sesetengah persoalan yang diajukan oleh pembaca blog, pendengar rancangan dan peserta kursus yang saya kendalikan bersama sahabat-sahabat saya. Tolong cari di situ…
Buat peserta yang berkenaan, dan kepada mereka yang menghadapi persoalan yang sama…. inilah ‘hadiah’ kecil daripada saya :
CICIPAN IMAN DARI PENDERHAKA 
“Ayah tidak bertanggungjawab! Dia tak layak menerima suatu apa pun dari kami.”
”Dia menagih harta?”
”Tidak, tetapi dia menagih kasih sayang. Kasih sayang yang dinafikannya dulu. Bukan setahun dua… tetapi hampir lima puluh tahun!”
”Begitu sekali?” balas saya simpati.
”Tak tanya apa dosa-dosanya terhadap ibu dan kami?”
”Tak payahlah, jika seorang anak dah begitu marah, tentu ada sebab-sebabnya.”
”Benar. Dia hakikatnya hanya ayah pada bin dan binti sahaja!” getusnya geram.
 Saya diam. Ini cerita sedih. Dia dan dua orang adik-beradiknya telah ditinggalkan ayahnya puluhan tahun. Ketika itu usianya baru dua tahun.
”Ayah pergi meninggalkan ibu ekoran pertengkaran kecil pada satu petang. Ayah tak pernah pulang-pulang lagi selepas itu. Dan sejak itu juga saya, kakak dan abang dibesarkan oleh ibu. Ibu membuat apa sahaja untuk membesarkan kami – dari menjaja kuih, menjadi penoreh hinggalah mengambil upah mencuci kain di rumah orang. Baru tahun lepas ibu yang menjanda dan menderita hampir separuh abad itu meninggal dunia…,” begitu ceritanya kepada saya pada awal perbualan tadi.
”Kenapa kini tiba-tiba saja ayah datang? Nak menjejak kasih konon!” katanya sinis.
”Awak masih memanggilnya ayah?” soal saya kembali.
”Kenapa? Itu kan hanya panggilan. Nak panggil apa lagi? Tapi tak ada apa-apa yang penting di sebalik panggilan itu.”
”Panggilan itu melayakkan dia mendapat kasih sayang awak!” pintas saya.
”Dia tidak layak. Tiada kebaikan yang pernah saya kecapi daripada dia,” bantahnya.
”Apakah kita hanya perlu berbuat baik kepada orang yang berbuat baik kepada kita?” tanya saya, mengalih tumpuan.
”Logiknya begitulah. Buat baik kepada yang baik. Buat baik dibalas baik. Ini biasa. Hati kita yang menghukumkan begitu.”
”Soal hati sangat relatif. Hati manusia berbeza-beza. Sedangkan kebaikan dan kebenaran adalah mutlak. Dan inilah asas agama. Kita perlu merujuk kepada agama. Maksudnya kepada Tuhan, maka barulah nanti rasa hati kita tepat dengan kebenaran dan kebaikan yang sebenar.”
Dia tenang. Berfikir, mungkin.
”Pernah dengar bagaimana kisah seorang perempuan lacur diampuni Allah kerana memberi minum anjing yang sangat kehausan?” tanya saya.
Dia mengangguk.
”Masih ingat bagaimana Rasulullah s.a.w. menziarahi wanita Yahudi yang sering meletakkan duri dan najis di jalan yang baginda sering lalui?”
Dia mengangguk.
”Pernah baca sejarah ketaatan dan kebaikan Siti Asiah sebagai isteri hatta kepada suaminya Firaun laknatullah?”
Dia mengangguk.
”Apa maksud awak dengan kisah-kisah itu?”
”Kitalah itu… kisah saya dan kisah awak! Dalam hidup, Allah menyuruh kita berbuat baik. Dan suruhan berbuat baik itu Allah tidak bataskan hanya kepada orang yang berbuat baik kepada kita. Apalah kebaikan yang pernah diberikan oleh anjing kehausan itu kepada perempuan lacur tersebut? Apalah kebaikan wanita Yahudi yang sering menyakiti Rasulullah? Dan Firaun suami Siti Asiah itu hakikatnya adalah sejahat-jahat manusia. Namun… kejahatan mereka itu dibalas oleh kebaikan… ”
”Payah, hati kita terseksa. Kita telah dizalimi, macam mana nak balas baik lagi?” akuinya terus-terang.
”Itulah salahnya kita… hanya asyik memikirkan kita. Buat baik pun kerana kita, bukan kerana Allah.”
”Apa maksud awak?”
”Kalau kita buat baik kepada orang yang buat baik kepada kita, itu ertinya kita buat baik kerana diri kita… bukan kerana Allah.”
”Tak faham saya…”
”Apabila kebaikan telah kita rasai, maka timbul rasa nak membalasnya. Baik dibalas baik. Itu kerana diri kitalah. Tapi kalau kerana Allah… lain.”
”Lain macam mana?”
”Kita tetap buat baik, walaupun tidak dibalas baik. Sekalipun kepada orang yang tak buat baik kepada kita…”
”Susah tu… hati kita menolak.”
”Hati kita lagi? Kan masih terikat dengan ’kita’. Ketepikan diri kita. Buatlah baik  atas dasar itu perintah Allah. Walaupun kebaikan kita tidak dibalas. Walaupun orang yang kita buat baik itu bukan orang yang baik. Itulah ikhlas. Bukti kita tak harapkan apa-apa balasan kecuali keredhaan Allah.”
”Jadi, awak rasa ayah saya layak menerima kebaikan dari saya dan adik-beradik?
”Dia layak. Dan awak wajib memberikannya,” jawab saya pendek.
“Walaupun dia tak bertanggungjawab? Tidak pernah bersusah kerana kami?”
”Jangan terikat kepada kebaikan atau kejahatannya lagi. Tetapi ingatlah kepada Allah. Allah wajibkan kita berbuat baik kepada ibu bapa…”
”Maksud awak, buat baik kerana Allah?”
”Ya, begitulah.”
”Aneh sungguh, orang jahat boleh jadi saluran kita kepada Allah.”
”Ya, bila kita melayani orang jahat dan kejahatannya dengan satu kebaikan.”
”Apalah hikmah agaknya ya… bila Tuhan perintahkan begitu?”
”Tentu banyak. Antaranya, kebaikan akan menyebabkan orang jahat menjadi insaf dan sedar.”
”Macam mana tu?”
”Kembali kepada kisah-kisah tadi. Bukankah perempuan Yahudi yang jahat itu akhirnya tunduk dengan kebaikan Rasulullah s.a.w. dan akhirnya mengucap dua kalimah syahadah? Itu bukti, bagaimana orang jahat boleh jadi baik apabila dihadapi dengan kebaikan.”
”Jadi, menurut awak, tidak mustahil ayah juga akan berubah jika kami berikan kasih sayang kepadanya.”
”Dia bukan akan berubah. Sebenarnya dia dah berubah. Sebab itu dia datang kepada awak. Dan sebaik sahaja awak berbuat demikian, awak pun akan berubah.”
”Berubah macam mana?”
”Hati awak akan menjadi tenang dan lapang. Kemarahan, dendam dan kekecewaan selama ini akan mula terpadam. Memaafkan, akan melegakan bukan sahaja pada ayah awak yang menerimanya malah awak yang memberinya juga. Percayalah. Itulah yang akan memberikan erti kemanisan iman.”
”Tak sangka… ada di antara jalan mendekatkan diri kepada Allah kekadang ada pada orang yang derhakakan-Nya. Hakikatnya kejahatan juga boleh dijadikan kebaikan bila…”
”Kejahatan dibalas dengan kebaikan. Itulah maksud sabda Rasululah s.a.w., buatlah baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kamu! Pergilah bertemu ayah awak. Berikan kebaikan dengan tulus dan ikhlas. Berikan dia peluang membetulkan kesalahan lampaunya!”

No comments:

Post a Comment