Wednesday 27 March 2013

Muhasabah : Kenapa Jalan Syaitan Juga Yang Dipilih?


Muhasabah : Kenapa Jalan Syaitan Juga Yang Dipilih?






Allah Yang Maha Penyayang telah menganugerahkan nikmat penglihatan, pendengaran dan nikmat akal  agar kita dapat mencari dan mengikuti jalan yang diredaiNya mengikut panduan yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan Sunnah nabi saw. Allah dengan sifat PemurahNya juga telah menjelaskan juga bahawa syaitan ialah musuh yang sebenar-benarnya. surah Fatir, ayat 6 :

Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

Bukan sekali Allah memberi peringatan seperti ini dalam al-Quran. Malah berkali-kali diulang untuk memperingatkan manusia yang serba lemah. Namun kenapa masih setia menjadi pengikut syaitan?. Kenapa sukar benar untuk membuka mata hati dan menggunakan akal berfikir seketika  akibat bersahabat dengan syaitan. Atau anda memang bercita-cita untuk bersama musuh utama itu di dalam neraka?. Na’uzubillah…

Tubuh badan anak adam ini diciptakan bukan untuk dibakar dan dipanggang dalam api neraka. Tetapi untuk mendiami syurga Allah. Kerana kita adalah warga syurga. Datuk kita Nabi Adam a.s dan Hawa berasal dari syurga. Kenapa kita enggan untuk kembali ke tempat asal kita itu? sesungguhnya Allah terlalu sayang kepada kita untuk mencampakkan ke dalam neraka lebih sayangnya seorang ibu kepada anaknya. Sabda Nabi saw :

“Sesungguhnya  Allah jauh lebih menyayangi hamba-hambaNya dibandingkan kasih sayang ibu  ini kepada anaknya.” ( Imam Bukhari dan Muslim)

Allah mengingini kita dimasukkan ke dalam syurga. FirmanNya di dalam surah al Baqarah, ayat 221 bermaksud:

 ‘Mereka (orang-orang kafir) mengajak ke neraka, sedang Allah menyeru (manusia) ke syurga dan keampunan dengan izinNya’.

Namun kenapa manusia seolah-seolah berlumba-lumba terjun ke lembah neraka? Perintah Allah dan Rasul diabaikan. Amat mudah untuk ditinggalkan solat fardu tanpa ada penyesalan sedikitpun. Jauh sekali untuk melakukan amal-amal sunat yang lain sepertir solat sunat, tilawah al-Quran, zikir dan seumpamanya.

Larangan dan cegahan Allah juga yang giat dilaksanakan. Mendedahkan aurat, bergaul bebas lelaki dan perempuan tanpa batasan dan seumpamanya benar-benar berleluasa pada masa kini. Pergaulan bebas inilah sebenarnya senjata syaitan yang utama untuk menyesatkan anak adam. Sehingga yang bertudung litup pun berkepit ke hulu ke hilir dengan ‘ suami’  yang tidak berakad tanpa rasa malu. Menipu ibubapa telah menjadi rutin untuk bertemu dengan buah hati. Akhirnya perut membuncit tidak berbapa. Ketika itu barulah teringat kepada Allah Rasul, dosa pahala dan terbayangkan  ibu dan bapa.

Ingatlah! Jangan sekali-kali memilih jalan syaitan kerana ia akan membawa kepada kebinasaan di dunia dan akhirat. Jangan menjadi hamba hawa nafsu yang merupakan tentera-tentara  syaitan untuk meramaikan temannya di dalam neraka kelak. Tingkatkanlah ilmu, amal dan iman untuk menghadapi musuh utama ini. Semoga Allah merahmati kita dan memimpin kita ke jalan yang diredaiNya.

No comments:

Post a Comment