Thursday 31 January 2013


KAMU ‘BETUL-BETUL’ KENAL ‘MAKHLUK’ LEMBUT ITU?

SATURDAY, 11 AUGUST 2012
Inspirasi wanita kontemporari


Ramai orang menyangka dia sudah betul-betul mengenali wanita. Jika dia seorang lelaki, dia lahir dari rahim seorang wanita. Disusukan dan disuapi oleh wanita. Maka, dia menyangka, dia sangat ‘kenal’ wanita. 

Jika dia seorang wanita, dia sangka dia telah mengenali dirinya sendiri. Jiwanya, hati dan perasaannya, dia sangka dia sangat akrab dengannya.

Tak kira kita lelaki atau wanita, adakah kita mengenali makhluk bernama wanita mengikut tafsiran ‘rasa-rasa’ dan ‘dengar-dengar’, atau tafsiran al-Quran dan as-Sunnah?  Adakah kita meletakkan persepsi dan memperlakukan wanita sesuai dengan petunjuk wahyu?

Mari sama-sama nikmati satu hasil kajian bertahun-tahun oleh seorang ulama berkenaan wanita. Bukunya berjudul, KEBEBASAN WANITA PADA ZAMAN RISALAH. Boleh dikaji lanjut torehan hujah-hujah yang diktiraf oleh para alim ulama seantero dunia di dalam bukunya ini. 

Ada yang disepakati dan ada yang masih berlegar dalam masalah ‘khilaf’. Yang pasti, apa yang terpilih di sini sangat mudah, praktikal, dekat dengan zaman Rasul dan dekat pula untuk dipraktikkan pada era kontemporari. Mengagumkan!

Antara hasil-hasil kajian hebat Abdul Halim Abu Syuqqah yang dikupas berserta dalil dan hujah yang mantap berkenaan wanita ialah:

SAHSIAH DAN KEPERIBADIAN WANITA

1.       Wanita muslimah pada zaman Nabi SAW memahami karakter mereka sebagai mana yang telah digariskan oleh agama Islam yang murni sehingga mereka melalui pelbagai aspek kehidupannya  dengan dasar pemahaman tersebut.

Nota saya: Nak buat sesuatu kena FAHAM dengan ilmu dan hujah.

2.       Sahsiah dan keperibadian wanita tersimpul dalam sabda Rasulullah SAW yang menetapkan dasar persamaan antara lelaki dan wanita dengan sedikit kekhususan dalam beberapa bidang. Sabda Rasulullah SAW, “Wanita adalah saudara kandung lelaki.” (HR Abu Daud).

Nota saya: Lelaki dan wanita, ada yang sama, ada yang berbeza. Allah meletakkan mereka kena pada tempatnya.

3.       Hadis yang mengatakan bahawa wanita itu ‘kurang akal dan agama’ adalah hadis sahih yang difahami dan diterapkan secara keliru oleh kebanyakan orang, sehingga mereka menghapuskan sahsiah dan keperibadian wanita yang telah digariskan oleh Allah SWT dalam kitab-Nya dan diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam sunnah-Nya.

Nota saya: Dari segi ‘kualiti’ kecerdikan dan kualiti agama, siapa yang kuat berusaha dan tinggi taqwanya dialah yang lebih cerdik dan beragama. Tak kira lelaki atau perempuan. Dalam hadis ini, Nabi menerangkan dari aspek kuantiti, bukan kualiti. Dari segi kuantiti, wanita kurang perlu memerah otak kerana Allah memanjakannya. Dia meletakkan kesaksian 2 orang wanita sama dengan kesaksian seorang lelaki. Baik sungguh Allah! Dia faham fitrah wanita yang mudah berserabut dengan hal-hal kesaksian di mahkamah ni. Begitu juga, dari segi kuantiti, wanita kurang solat dan puasa berbanding lelaki apabila Allah memanjakannya dengan waktu cuti.

PAKAIAN DAN PERHIASAN WANITA

4.       Membuka wajah sudah menjadi sesuatu yang umum dilakukan pada zaman Nabi SAW. Keadaan seperti ini merupakan keadaan awal. Adapun memakai purdah yang memperlihatkan dua biji mata sahaja, merupakan salah satu tradisi (adat) atau fesyen yang menjadi trend pada sebahagian wanita sebelum dan sesudah kedatangan Islam.

5.       Berhias secara wajar pada muka, dua tapak tangan dan pakaian diizinkan oleh agama dalam batas-batas yang sesuai dilakukan oleh seorang wanita beriman.


6.       Tidak pernah diwajibkan supaya mengikuti satu fesyen tertentu dalam berpakaian. Yang diwajibkan ialah menutupi aurat. Tidaklah berdosa mengikuti beberapa fesyen sesuai dengan keadaan cuaca dan persekitaran sosial.

7.       Kriteria-kriteria di atas membantu wanita untuk lebih bebas bergerak dan memudahkannya dalam mengikuti kegiatan sosial.

Nota saya: Mudah bukan? Betapa Allah sangat baik. Dia tidak rela ramai hamba-Nya ke neraka. Lantaran itu syariat-Nya bersifat mudah lagi memudahkan. Bukan bermudah-mudah. Bukan pula memayah-mayahkan.  Jika ada yang berpandangan sebaliknya daripada pendapat di atas, itu pilihan kalian. Kami tenang dengan pilihan kami! Bagimu pilihanmu, dan bagiku pilihanku!
Jika masih ramai yang ke neraka, bukan Allah yang salah tapi kita sendiri yang salah. Sifat ‘ADIL’ Allah menghantar kita ke sana apabila kita buruk sangka kepada-Nya dan melanggar arahan-Nya yang sedikit cuma. Nauzubillah. Arahan Allah untuk kebaikan dan kemaslahatan kita juga.
Ada banyak lagi hasil dapatan kajian ulama ini dalam bidang-bidang berikut:

PENGLIBATAN WANITA DALAM KEHIDUPAN SOSIAL
KELUARGA
BIDANG SEKSUAL

Insyallah, saya akan ‘update’ kemudian. Bahagianya!!! Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment