Thursday, 31 January 2013


KAMU ‘BETUL-BETUL’ KENAL ‘MAKHLUK’ LEMBUT ITU?

SATURDAY, 11 AUGUST 2012
Inspirasi wanita kontemporari


Ramai orang menyangka dia sudah betul-betul mengenali wanita. Jika dia seorang lelaki, dia lahir dari rahim seorang wanita. Disusukan dan disuapi oleh wanita. Maka, dia menyangka, dia sangat ‘kenal’ wanita. 

Jika dia seorang wanita, dia sangka dia telah mengenali dirinya sendiri. Jiwanya, hati dan perasaannya, dia sangka dia sangat akrab dengannya.

Tak kira kita lelaki atau wanita, adakah kita mengenali makhluk bernama wanita mengikut tafsiran ‘rasa-rasa’ dan ‘dengar-dengar’, atau tafsiran al-Quran dan as-Sunnah?  Adakah kita meletakkan persepsi dan memperlakukan wanita sesuai dengan petunjuk wahyu?

Mari sama-sama nikmati satu hasil kajian bertahun-tahun oleh seorang ulama berkenaan wanita. Bukunya berjudul, KEBEBASAN WANITA PADA ZAMAN RISALAH. Boleh dikaji lanjut torehan hujah-hujah yang diktiraf oleh para alim ulama seantero dunia di dalam bukunya ini. 

Ada yang disepakati dan ada yang masih berlegar dalam masalah ‘khilaf’. Yang pasti, apa yang terpilih di sini sangat mudah, praktikal, dekat dengan zaman Rasul dan dekat pula untuk dipraktikkan pada era kontemporari. Mengagumkan!

Antara hasil-hasil kajian hebat Abdul Halim Abu Syuqqah yang dikupas berserta dalil dan hujah yang mantap berkenaan wanita ialah:

SAHSIAH DAN KEPERIBADIAN WANITA

1.       Wanita muslimah pada zaman Nabi SAW memahami karakter mereka sebagai mana yang telah digariskan oleh agama Islam yang murni sehingga mereka melalui pelbagai aspek kehidupannya  dengan dasar pemahaman tersebut.

Nota saya: Nak buat sesuatu kena FAHAM dengan ilmu dan hujah.

2.       Sahsiah dan keperibadian wanita tersimpul dalam sabda Rasulullah SAW yang menetapkan dasar persamaan antara lelaki dan wanita dengan sedikit kekhususan dalam beberapa bidang. Sabda Rasulullah SAW, “Wanita adalah saudara kandung lelaki.” (HR Abu Daud).

Nota saya: Lelaki dan wanita, ada yang sama, ada yang berbeza. Allah meletakkan mereka kena pada tempatnya.

3.       Hadis yang mengatakan bahawa wanita itu ‘kurang akal dan agama’ adalah hadis sahih yang difahami dan diterapkan secara keliru oleh kebanyakan orang, sehingga mereka menghapuskan sahsiah dan keperibadian wanita yang telah digariskan oleh Allah SWT dalam kitab-Nya dan diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam sunnah-Nya.

Nota saya: Dari segi ‘kualiti’ kecerdikan dan kualiti agama, siapa yang kuat berusaha dan tinggi taqwanya dialah yang lebih cerdik dan beragama. Tak kira lelaki atau perempuan. Dalam hadis ini, Nabi menerangkan dari aspek kuantiti, bukan kualiti. Dari segi kuantiti, wanita kurang perlu memerah otak kerana Allah memanjakannya. Dia meletakkan kesaksian 2 orang wanita sama dengan kesaksian seorang lelaki. Baik sungguh Allah! Dia faham fitrah wanita yang mudah berserabut dengan hal-hal kesaksian di mahkamah ni. Begitu juga, dari segi kuantiti, wanita kurang solat dan puasa berbanding lelaki apabila Allah memanjakannya dengan waktu cuti.

PAKAIAN DAN PERHIASAN WANITA

4.       Membuka wajah sudah menjadi sesuatu yang umum dilakukan pada zaman Nabi SAW. Keadaan seperti ini merupakan keadaan awal. Adapun memakai purdah yang memperlihatkan dua biji mata sahaja, merupakan salah satu tradisi (adat) atau fesyen yang menjadi trend pada sebahagian wanita sebelum dan sesudah kedatangan Islam.

5.       Berhias secara wajar pada muka, dua tapak tangan dan pakaian diizinkan oleh agama dalam batas-batas yang sesuai dilakukan oleh seorang wanita beriman.


6.       Tidak pernah diwajibkan supaya mengikuti satu fesyen tertentu dalam berpakaian. Yang diwajibkan ialah menutupi aurat. Tidaklah berdosa mengikuti beberapa fesyen sesuai dengan keadaan cuaca dan persekitaran sosial.

7.       Kriteria-kriteria di atas membantu wanita untuk lebih bebas bergerak dan memudahkannya dalam mengikuti kegiatan sosial.

Nota saya: Mudah bukan? Betapa Allah sangat baik. Dia tidak rela ramai hamba-Nya ke neraka. Lantaran itu syariat-Nya bersifat mudah lagi memudahkan. Bukan bermudah-mudah. Bukan pula memayah-mayahkan.  Jika ada yang berpandangan sebaliknya daripada pendapat di atas, itu pilihan kalian. Kami tenang dengan pilihan kami! Bagimu pilihanmu, dan bagiku pilihanku!
Jika masih ramai yang ke neraka, bukan Allah yang salah tapi kita sendiri yang salah. Sifat ‘ADIL’ Allah menghantar kita ke sana apabila kita buruk sangka kepada-Nya dan melanggar arahan-Nya yang sedikit cuma. Nauzubillah. Arahan Allah untuk kebaikan dan kemaslahatan kita juga.
Ada banyak lagi hasil dapatan kajian ulama ini dalam bidang-bidang berikut:

PENGLIBATAN WANITA DALAM KEHIDUPAN SOSIAL
KELUARGA
BIDANG SEKSUAL

Insyallah, saya akan ‘update’ kemudian. Bahagianya!!! Alhamdulillah.

DIA MERINDUI ALLAH DAN ALLAH MERINDUINYA...

MONDAY, 2 APRIL 2012

Duhai hati...
akrabkah cintamu kepada Pemilik hati?
Astragfirullah!

'SWEET'NYA ALLAH PADA KITA :)



WEDNESDAY, 8 AUGUST 2012
Beriman dan menambah ilmu adalah cara kita menaikkan darjat di sisi Allah, rujuk al-Mujadalah, ayat 11.
Kaji Sebelum Caci
Tatkala senyum, dileteri, senyummu terlebih gula.
Tatkala masam, diumpat, wajahmu tidak ceria.
Tatkala ke media, dituduh, sengaja mencari pujian. Gila glamour. Hendak menunjuk cantik.
Tatkala di rumah, dituduh tersepit. Terkongkong. Tidak pedulikan keperluan masyarakat.
Payahnya melangkah sebagai manusia, jika ingin memenuhi kepuasan semua orang. Relatif dan pelbagai. Kata pepatah Arab, kepuasan manusia adalah matlamat yang mustahil boleh dicapai.
Nabi memujuk, “Seorang mukmin yang bergaul dengan masyarakat dan sabar dengan kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah lebih besar ganjarannya daripada mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan dan kejahatan masyarakatnya.” (HR. Bukhari, al-Tirmizi dan Ahmad, sahih).
Ya, Allah, kami mengadu kepada-Mu dengan sikap manusia yang suka tergesa-gesa menghukum. 
Kita tidak perlu membalas sikap keras mereka dengan kekerasan yang sama. Biar kita tersalah tidak menghukum daripada tersalah menghukum.
Nabi sungguh hebat memotivasikan kita, “Bertakwalah kepada Allah di mana jua kamu berada. Ikutilah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu dapat menghapuskan kejahatan. Dan berakhlaklah kamu sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat Ahmad dan lain-lain).
Kami berterima-kasih kepada-Mu, ya Allah kerana menghadirkan para ulama pewaris Nabi yang istiqamah menerangkan manhaj hidup yang mudah lagi memudahkan. Bukan bermudah-mudah. Bukan pula memayah-mayahkan. Dengan kejernihan fikrah mereka, kami tenang melangkah.
Apabila Manusia Tidak Faham Perbezaan Fiqih, Timbullah Label dan Umpatan
Ramai remaja mengadu kepada saya dengan 1001 dilema dan cerita.
“Saya ditengking oleh abang saya kerana memakai baju berwarna ‘pink’. Katanya, haram wanita berbaju warna terang. Saya cuma mahukan warna itu untuk membangkitkan ‘mood’ ceria saya tanpa niat menggoda sesiapa. ”
“Saya dilabel ‘tabarruj’ kerana memakai tudung pashmina, dan shawl. Padahal ianya sudahpun menutup aurat.”
“Saya digelar ‘si punuk unta’ kerana sanggul saya. Buruk. Mangsa fesyen. Mereka tidak faham saya bersanggul bukan kerana fesyen atau hendak menunjuk. Sesetengah wanita berambut panjang perlu bersanggul agar tidak pening kepala. Seperti mana wanita lepas bersalin mesti bersanggul kemas demi kesihatannya.”
“Saya dituduh mengikut arus hanya kerana tudung ‘instant’ saya. Padahal, saya cuma mahu jimatkan masa daripada ‘iron’ dan ingin cepat bersiap.”
 “Buntut saya besar. Orang tuduh saya miang. Sebab saya jalan melenggang-lenggok. Itu bukan kesengajaan saya. Adilkah saya dilabel begitu?”
“Suara saya merdu dan lunak. Adakah saya perlu bisukan suara di dunia ini? Sudah tentu saya terseksa dan sakit tekak jika perlu meniru-niru suara kasar seperti lelaki. Bukankah cara komunikasi setiap orang mempunyai keasliannya yang tersendiri? Salahkah saya menjadi diri sendiri?”
“Ramai orang berkata saya berwajah cantik. Jika ada lelaki tergoda, dia yang perlu menundukkan pandangan atau saya yang wajib berpurdah? Purdah bagi saya menyulitkan urusan saya, mungkin ia tidak bagi orang lain. Tidakkah Islam memberi ‘rukhsah’ kepada kesulitan saya?”
“Saya lelaki yang dilahirkan lembut sejak kecil. Orang menuduh saya menyerupai wanita. Bukankah Allah tidak menghukum hamba-Nya sesuatu yang di luar kuasanya?”
Sabarlah remajaku sayang atas ketergesaan label-label manusia.
Tenangkan Hatimu dengan Ilmu dan Hujah, Bukan ‘Rasa-Rasa’
Dalam menghadapi kemelut ini, menjadi keperluan kita untuk mencari ilmu dan hujah dari sumber-sumber yang sahih. Ia akan memberi ketenangan hati. Jika kita salah, kita kena bersedia untuk betulkan diri. Jika kita tidak salah, kenapa kita perlu menyiksa diri untuk cuba memenuhi kepuasan mereka?
Rujuklah para ulama dan buku-buku besar mereka. Kenal pasti mana isu ‘khilaf’ dan mana isu yang disepakati. Kita akan terus bercakaran sesama sendiri apabila melayani perkara ‘khilaf’ sama seperti melayani perkara yang disepakati. Tingkat toleransi akan menjadi tinggi apabila kita mengkaji perbezaan dan memahaminya.
Kita juga perlu kenal mana 'prinsip' untuk kita teguh dan istiqamah. Mana pula 'perlaksanaan' yang Islam benarkan kita fleksibel. Thabat (teguh) dan murunah(fleksibel) adalah watak-watak Islam. Luaskan ufuk minda, jangan kita sempitkan.
Firman Allah SWT: "Allah mahukan kemudahan bagimu dan Allah tidak mahukan kesusahan bagimu." (Surah al-Baqarah: 185).
Nikmatilah 'kemudahan' memilih apa yang baik selagi masih dalam batasan tanpa perlu terikat dengan 'kesukaan' orang yang pelbagai. Jika mereka tetap ingin melabel dan mengumpat, tersenyumlah. 
Sedih itu fitrah tapi usah bersedih-sedih. Di akhirat nanti, kita perlukan mereka untuk memikul dosa kita. Kita juga boleh mengikis pahala mereka. Indah bukan? Moga Allah sudi ampunkan kita dan mereka.
Fatwa Berat atau Fatwa Mudah Pilihan Hati?
Kita terbiasa dengan fatwa-fatwa yang berat terutamanya berkenaan masalah wanita selama ini. Sebabnya, kebanyakan para ustaz yang baik dan sudi mengajar kita itu terbiasa merujuk terus fatwa-fatwa lama dan kurang memerhatikan fiqah perbandingan (fiqh muqaran) dan fiqah kontemporari (fiqh mua’shirah). Alhamdulillah, sejuta penghargaan buat mereka kerana ijtihad para ulama masih dalam daerah pahala.
Jika ia terlalu menekan hidupmu dan menyesakkan dadamu, temuilah ketenangan beragama, kemudahan beramal, keindahan toleransi, kekuatan penyatuan dan kehalusan seni dakwah dalam fatwa dan ijtihad ulama-ulama muktabar kontemporari khususnya dalam masalah-masalah wanita. Para ulama muktabar itu antaranya ialah dari kalangan mereka yang bermanhaj pertengahan seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Abdul Karim Zaidan dan seumpamanya. Seperti juga para ulama yang lain, mereka berijtihad dengan ilmu bukan dengan nafsu.
Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyusun fiqh keutamaan agar kita turut merujuk fatwa-fatwa kontemporari. Mereka menghargai pendapat lama dan meraikan tajdid (pembaharuan).
Syukur sangat kerana golongan ulama muktabar ini mendedahkan suatu kefahaman dan tafsiran al-Quran dan hadis yang membuatkan ummah berasakan Islam itu benar-benar mudah dan praktikal untuk diamalkan. Realistik dengan perubahan zaman. Yang halal amat luas sebaliknya yang haram amat sempit dalam Islam. 
Allah mempersoalkan kita di akhirat nanti berdasarkan ilmu dan kefahaman kita. Oleh sebab itu, bagi mereka yang tetap ingin berpegang dengan fatwa-fatwa yang berat, silakan. Tiada masalah. Tapi perlu bersedia beramal dengan fatwa-fatwa berat yang dipegang itu. Hormatilah orang yang tidak sehaluan. Selagi pandangan itu, Islam benarkan kita berbeza.
Islam Kasihankan Kita
 Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, di antara kemudahan yang diperlukan dalam fiqih ialah mempersempit dan tidak berlebihan dalam menetapkan taklif (beban) hukum kepada manusia. Terutamanya, dalam hal yang berhubungan dengan wajib dan haram. 

Daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah, Islam benar-benar memperhatikan dalam mempersempit perintah dan memperluas “kawasan yang dimaafkan” kerana berasa kasihan kepada para mukallaf (orang yang memikul tanggung jawab), bukan kerana lupa.
Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika kamu menanyakan di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah maha pengampun lagi maha penyantun. (Al-Maidah: 101).
Rasulullah SAW bersabda, “Orang Muslim yang paling besar dosanya adalah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu hal itu menjadi diharamkan gara-gara pertanyaannya.” (Muttafaqun a’laih).
Baginda bersabda lagi, “Sesungguhnya Allah telah menetapkan hukum-hukum maka janganlah kalian melanggarnya. Mewajibkan kewajipan-kewajipan maka janganlah kalian mensia-siakannya. Mengharamkan sesuatu maka janganlah kamu melakukannya, dan mendiamkan sesuatu kerana kasihan kepada kalian, bukan kerana lupa maka janganlah kalian mempersoalkannya. (HR Daruqutni dan al-Hakim, dan dia menilainya sahih. Rujuk Al-Qaradhawi,Nahwa Fiqh Muyassar).
       Selagi Bukan Dosa, Bebaslah Memilih
Remajaku sayang,
Tenang dan yakinlah dengan setiap pilihan hidupmu. Selagi ia bukan dosa, nikmatilah kebebasanmu memilih mengikut cita rasamu sendiri. Berbahagialah menjadi diri sendiri. Pandangan manusia itu penting tapi memuaskan pandangan mereka semuanya adalah suatu tindakan yang ‘gila’. Paling penting, tiada konflik antara pilihanmu dengan kehendak Tuhanmu.
Prinsip awal yang ditetapkan oleh Islam, bahawa asal segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah, baik berupa benda mahupun manfaat, adalah halal dan boleh, dan tidak haram kecuali ada nas sharih (jelas) yang mengharamkannya. Apabila nasnya tidak sahih, atau tidak sharih (jelas) menunjukkan pada yang haram, maka sesuatu itu hukumnya tetap harus. 
Kata Imam Asy-Syatibi,
“Tidak ada perintah kecuali dengan dalil, apabila tidak ada dalil yang menunjukkan perintah untuk melakukannya, maka perintah itu gugur dengannya.” (Rujuk kitab al-Muwafaqat oleh Asy-Syatibi).
Dari sinilah kawasan yang diharamkan oleh Allah menjadi sangat sempit. Kawasan yang dihalalkan semakin luas dan banyak. Hal itu tidak lain kerana nas-nas sharih yang mengharamkan sesuatu jumlahnya sangat sedikit. Sedangkan yang tidak dinyatakan halal atau haram, maka ia tetap pada hukum asalnya, iaitumubah (harus) dan termasuk ke dalam kawasan yang dimaafkan oleh Allah SWT.
Sweetnya Allah pada kita, bukan?!

SEBARKAN BAHAGIA



Bahagia itu bukan destinasi
yang belum pasti
bahagia ada setiap hari
dinikmati oleh hati

Bahagia anugerah Ilahi
berhak dimiliki
buat siapa yang mencari
dengan petunjuk hakiki

Bahagia perlu diciptakan
bukan sekadar diangankan
dalam setiap keadaan
dalam setiap kesempatan

Usah terus sengsara
bahagiamu di depan mata
ciptakanlah bahagia
dan sebarkan bahagia

FATIMAH SYARHA

Wednesday, 30 January 2013


NABI KITA MAKHLUK PERTAMA DICIPTA?

SATURDAY, 12 JANUARY 2013



Kita hidup dengan banyak persepsi. Jernihkannya dengan mengkaji.

              
                Dulu, saya ingat persoalan ini tidak penting. Sekali pandang, ianya nampak karut. Tapi, bila saya ‘google’ sekitar persoalan ini, saya terkejut apabila mendapati ramai orang memperkatakannya. Bukan sahaja oleh segelintir umat Islam di Malaysia bahkan minoriti umat di serata dunia.
Impaknya, ada pihak yang membentuk kumpulan mereka bersandarkan kepercayaan-kepercayaan pelik seumpama ini.  Jika dikaji lebih dalam, mereka bagai meletakkan kedudukan mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah oleh pemimpin mereka seakan setanding dengan kedudukan al-Quran dan al-Sunnah sebagai ‘sumber’ rujukan dalil-dalil syarak.
Hakikatnya, mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah memanglah wujud dan tsabit dalam Islam. Kita tidak boleh menafikannya mentah-mentah. Tidak boleh juga mengambilnya bulat-bulat. Kedudukannya, ia cuma sokongan tambahan, bukan sumber. Dianggap cahaya atas cahaya.
Ia tidak diambil kira melainkan dengan syarat ia tidak bertembung dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. Ini disebabkan oleh ia banyak bercampur baur dengan sangkaan dan kecenderungan diri sendiri.


Jika Benar Baginda Makhluk Pertama, Apa Buktinya?

Ada kefahaman yang bergayutan di minda orang awam bahawa Nabi Muhammad SAW diciptakan daripada cahaya. Bahkan mereka percaya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah makhluk pertama yang diciptakan.
Adakah kefahaman ini diceduk daripada sumber yang sahih? Moga Allah SWT memberi petunjuk kepada pena saya untuk mengulasnya, berpandukan ulasan para ulama muktabar.
                Apa buktinya Nabi kita makhluk pertama?
                Ada bukti wahyu? Ada bukti Sains?
                Tidak ada!
                Jika benar sekalipun, apa faedahnya kefahaman ini kepada peradaban dunia?
                Daripada kita memeningkan kepala berfikir sesuatu yang ‘pelik’ ini, lebih baik kita berpegang kepada apa yang ditetapkan secara ‘mutawatir’. Iaitu ‘sesuatu’ yang diceritakan oleh para sahabat yang ramai. Bahkan, pada setiap generasi, ada golongan yang dipercayai turut menceritakan perkara tersebut. Keadaan ini menyebabkan kita yakin, mustahil mereka berpakat untuk berdusta.
Nabi kita dimuliakan Allah kerana akhlaknya yang agung. Kerana kenabian-Nya. Bukan kerana alasan keutamaan yang tidak jelas kesahihannya. Allah SWT memuji keutamaan baginda secara jelas,
                “Dan sesungguhnya kamu benar-benar orang yang berbudi pekerti yang agung.”(Surah al-Qalam:  4.)
                Baginda mulia kerana berakhlak mulia. Bukan kerana baginda makhluk pertama.


Ada Kelahiran dan Kewafatan

                Sejarah merekodkan peristiwa yang boleh diterima akal tentang permulaan dan pengakhiran riwayat hidup baginda. Baginda dilahirkan sebagaimana manusia biasa dilahirkan. Punya ibu dan ayah. Punya tarikh lahir. Punya tempat dilahirkan.
                “Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa.’” (Surah al-Kahfi: 110.)
Setiap tahun, kita mengenang nostalgia indah ini. Pada tahun gajah, lahirlah seorang bayi barakah di bumi Makkah. Baginda mempunyai nasab yang jelas, bukan nasab yang ‘ajaib’. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Ayahnya pula bernama Abdullah bin Abdul Muthalib al-Hasyimi al-Quraisy.
Baginda menjadi mata-mata rantai kepada perjuangan Rasul-rasul terdahulu. Sama menyebarkan risalah tauhid. Hukum syariatnya sahaja berbeza. Baginda penerus Nabi dan Rasul, bukan Nabi pertama yang diutus.
Rasulullah SAW membuat analogi yang menarik. Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah, dia menyempurnakannya kecuali satu sudut tempat meletakkan batu-batanya. Orang ramai mengelilinginya dan merasa takjub melihat keindahan binaan ini. Mereka berkata, ‘Kalaulah bukan kerana ruang kosong bagi bata ini, ia akan lebih cantik,’. Akulah ruang kosong bagi bata itu, akulah penutup bagi nabi-nabi.” (Muttafaq a’laih).
Baginda wafat sebagai mana manusia lain diwafatkan. Datang Izrail lalu diambil nyawanya. Baginda mempunyai tarikh kewafatan. Tempat kewafatan. Tempat dimaqamkan. Semuanya jelas menunjukkan kehidupan baginda di dunia mempunyai had masa.


 Sumber Wahyu, Sokongan Akal

                Mari kita renung sejenak. Kelahiran Adam yang tidak berayah dan beribu, secara kasarnya, tidak boleh diterima logik. Begitu juga kelahiran Isa yang tidak berayah, tidak selaras dengan akal manusia yang terbatas. Tapi kesahihannya mempunyai dalil wahyu.  Maka, ia boleh diterima.
Akal perlu tunduk kepada wahyu. Kedudukan wahyu adalah lebih tinggi berbanding akal. Wahyu adalah sumber. Manakala, akal cuma sokongan. Itu tidak bermakna akal tidak penting. Akal tetap dimuliakan Islam. Hinggakan, seringkali disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran, “Kenapa kamu tak guna akal?”
Kita kembali kepada isu penciptaan Muhammad SAW sebagai makhluk pertama dan diciptakan daripada cahaya. Bukankah ia tidak dapat diterima akal? Bahkan tidak pula mempunyai sumber wahyu yang sahih. Jadi, bagaimana kita dapat menerima idea ini?
Apa yang jelas, kehidupan baginda mempunyai batas masa.  Waktunya terhad. Tatkala baginda dijemput mengadap-Nya, ada sahabat yang sukar menerima. Namun, mereka terpaksa tunduk kepada kalam-Nya, “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati.” (Az-Zumar: 30.)


Nabi Bimbang Jika Kita Berlebihan

                Ya, kita diwajibkan mencintai Nabi melebihi cinta kepada nyawa dan darah kita sendiri. Namun, kita diingatkan agar jangan sampai bersikap keterlaluan. Hingga ada yang mengangkat Nabi sebagai Tuhan. Umat-umat terdahulu ramai yang terpisah daripada hidayah Allah berpunca daripada sikap keterlaluan mereka dalam memuja dan menyanjung. Allah SWT mengajar Nabinya menyeru,
                “Janganlah kamu sekalian menyanjungku seperti mana kaum Nasrani menyanjung Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku adalah hamba Allah dan rasul-Nya.” (HR Bukhari).
                Agak berlebihan jika kita menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya. Itu seakan-akan meletakkan Nabi di posisi malaikat bukannya manusia. Wahyu menjelaskan Nabi SAW adalah manusia. Baginda diciptakan daripada air yang terpancut. Sama seperti manusia yang lain.
                Boleh jadi, mereka yang menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya mengambil dalil ini,
                “….Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya (Rasulullah) dari Allah, dan kitab yang menerangkan.” (Al-Maidah: 15)
                Sastera Allah maha tinggi. Bukan Rasulullah SAW sahaja yang digambarkan seperti cahaya, bahkan al-Quran juga sering disifatkan seperti cahaya. Antara lain Allah berkata,
                “Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya serta cahayanya (al-Quran) yang telah kami turunkan. (At-Thaghabun: 8).
                Kiasan disangka hakikat. Bimbang, kepercayaan ini akan membawa kepada penyanjungan yang tidak benar. Hinggakan, ada orang yang mendendangkan salawat berbunyi, “Salawat dan salam bagimu wahai makhluk Allah yang pertama.”
 Lebih membimbangkan jika kepercayaan ini akan mengheret penyanjungan Nabi setaraf Tuhan sebagaimana yang terjadi kepada orang-orang Kristian. Nauzubillah.


Kalau Benar Sayangkan Nabi…

Ummat Islam mencintai Nabi Muhammad SAW. Ummat memuliakan setiap detik yang dilalui oleh baginda. Tatkala Nabi kita dihina, hati-hati kita segera bertautan erat seluruh dunia. Bersatu membela baginda. Demonstrasi aman bergelombang di mana-mana. Indahnya cinta yang tulus ini.
                Dalam mengekspresikan cinta suci, kita perlu berhati-hati. Ada pemikiran dan tindakan yang berlebih-lebihan hingga bertentangan dengan seruan baginda. Semuanya atas nama cinta. Namun jika tidak bersandarkan sumber yang sahih dan rasional manusia, ia jadi celaka.
                Bukankah Nabi kita tidak mengajar membunuh orang yang tiada kena mengena? Dengan ajaran mulia, baginda menawarkan rasa aman kepada dunia. Rasa aman berhak dinikmati oleh orang yang tidak bersalah.
Kalau benar sayangkan Nabi, ikutlah seruannya secara menyeluruh. Kajilah sirah baginda bersungguh-sungguh. Barulah lahir peribadi umatnya yang teguh dan layak dibuat contoh. Berpegang dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, insya-Allah kita tidak akan sesat selama-lamanya.


ISLAM MEMPERSEMPITKAN YANG HARAM DAN MELUASKAN YANG HALAL
FATIMAH SYARHA ● SUNDAY, 11 SEPTEMBER 2011

Apa yang Allah haramkan sebelum kahwin, sekejap saja. Sabarlah sekejap! Dah kahwin nanti, yang halal amatlah luas. Yang halal lebih indah kerana benaungkan redha Allah.

Soalan:

Assalamualaikum WBT,

Akak, apa pandangan akak pada tudung shawl ni? Tentunya apabila singkat, ia sudah pasti salah. Apabila yang labuh, shawl ini bertujuan mengikut arus fesyen kini.
 

Seolah-olah, muslimah kita tidak pernah bebas dari rasa ingin bergaya. Tidak senang andai diri tidak sama dan tidak ikut fesyen semasa. Bagaikan, satu kewajipan untuk ikut serta bersaing antara satu sama lain.

Saya kurang setuju, kerana sekalipun menutup aurat, bersaing sebegini, bagaikan menuju ke arah tabarruj pula.
 

Sedangkan, mereka yang memakai tudung labuh, BEBAS dari semua ini. Tidak dinafikan juga bagi mereka yang bertudung menutup dada namun tidak bertabarruj.

Apa pandangan akak?
 

p.s: Sehingga ke hari ini, saya mempunyai halangan yang besar untuk bertudung labuh. Hanya boleh mengenakan selendang berkain tebal dan labuh menutupi dada. Doakan saya semoga halangan yang satu itu boleh dikendalikan sebaiknya :-(

Jawapan:

Adik yang disayangi fillah,
Mari kita teliti mana yang lebih hikmah dalam gaya dakwah berikut:

     a)  Tabarruj:
1.       Mengkritik muslimah yang berfesyen sebagai bertabarruj dan melabel dia sebagai orang yang berdosa atau membuat kesalahan.

 (Atau)

2.       Memahami bahawa tabarruj itu haram tapi ‘maksud’ tabarruj itu diperselisihkan oleh para ulama[1]. Tidak memaksakan orang lain mengikut ‘maksud’ yang kita faham kerana ‘maksud’ yang kita faham itu mungkin berat bagi orang lain. Menghargai perselisihan dalam masalah ini tetap dalam daerah pahala.

b) Fesyen:
1.  Memperleceh muslimah yang bergaya dengan shawl dan sebagainya sebagai mengikut-ngikut arus fesyen, berprasangka buruk bahawa niat hatinya untuk bersaing bukannya untuk Islam, dan menganggap industri fesyen itu haram.

(Atau)

3.       Memahami bahawa muslimah itu melakukan sesuatu yang harus kerana tiada dalil haram terhadap pilihannya itu. Menganggap asal hukum bagi dunia fesyen adalah harus. Daripada sekadar mengkritik keterukan fesyen yang dicipta pada hari ini, dia tampil memberikan alternatif bagaimana fesyen-fesyen muslimah yang masih melepasi syarat-syarat dan batasan-batasan sebagai gaya dakwah bil hal (dakwah dengan contoh tauladan).

Fatwa Berat atau Fatwa Mudah Pilihan Hati?

Kita terbiasa dengan fatwa-fatwa yang berat berkenaan masalah wanita selama ini kerana kebanyakan para ustaz yang baik yang sudi mengajar kita itu terbiasa merujuk terus fatwa-fatwa lama dan kurang memerhatikan fiqah perbandingan (fiqh muqaran)dan fiqah kontemporari (fiqh mua’shirah) . Alhamdulillah, sejuta penghargaan buat mereka kerana ijtihad para ulama masih dalam daerah pahala.

Akak lebih menemui ketenangan beragama, kemudahan beramal, keindahan toleransi , kekuatan penyatuan dan kehalusan seni dakwah dalam fatwa dan ijtihad ulama-ulama muktabar kontemporari dalam masalah-masalah wanita. Khususnya para ulama muktabar itu ialah dari kalangan mereka yang bermanhaj pertengahan seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Abdul Karim Zaidan, Syeikh Said Ramadhan al-Buthi dan seumpamanya. Kebanyakan mereka lahir dari tarbiyyah (didikan) Ikhwanul muslimin. Seperti juga para ulama yang lain, mereka berijtihad dengan ilmu bukan dengan nafsu.

Syukur sangat kerana golongan ulama muktabar ini mendedahkan suatu kefahaman dan tafsiran Al-Quran dan hadis yang membuatkan ummah berasakan Islam itu benar-benar mudah dan praktikal untuk diamalkan. Yang halal amat luas sebaliknya yang haram amat sempit dalam Islam. Allah mempersoalkan kita di akhirat nanti berdasarkan ilmu dan kefahaman kita. Oleh sebab itu, bagi mereka yang tetap ingin berpegang dengan fatwa-fatwa yang berat, silakan. Tiada masalah. Tapi perlu bersedia beramal dengan fatwa-fatwa berat yang dipegang itu kerana Allah bakal mempersolkan seseorang berdasarkan apa yang kita pegang.

Contohnya, bagi mereka yang berpegang dengan fatwa bahawa hukum asal purdah itu adalah wajib, maka wajiblah baginya menutup wajah.  Wajiblah baginya tidak meletak gambar ‘wajah’ di facebook meskipun untuk tujuan dakwah bil hal (dakwah dengan contoh tauladan). Wajiblah baginya makan nyorok-nyorok masa kenduri-kendara, bimbang nanti ternampak wajahnya.  Wajiblah baginya tidak mencari pekerjaan yang mewajibkannya membuka wajah. Dan banyak lagi implikasi ‘pegangan seseorang’ dalam praktikaliti hidupnya. Sebaliknya, bagi mereka yang berpegang hukum asal purdah cuma harus, maka dia mempunyai kebebasan untuk berpurdah atau tidak berpurdah mengikut keperluannya. Hatinya tenang dan tidak diburu rasa berdosa kerana dia cuma mengikut ijtihad jumhur ulama yang masih dalam daerah pahala, samada 1 atau 2 pahala.

Kaedah-kaedah Fiqih Khususnya Berkaitan Wanita

Kita kembali sejenak kepada manhaj fiqah dan kaedah-kaedahnya khusus dalam isu-isu wanita. Antaranya ialah:
1.       Menjadikan nas sharih (jelas) Al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan.
2.       Mengaitkan nas antara satu dengan yang lain.
3.       Menggabungkan antara fiqah dan hadis.
4.       Menghormati ijmak yang diyakini.
5.       Memilih mazhab dan mempelajari buku-bukunya.
6.       Memerhatikan keadaan zaman dan lingkungan dalam berfatwa.
7.       Mempersempit yang haram dan yang wajib.
8.       Bersikap moderat (sederhana, pertengahan) dan berimbang.
9.       Memperhatikan kepentingan umum.
10.   Mempermudah (terutama ketika terjadi bencana).
11.   Berbicara kepada orang lain dalam bahasa zamannya.
12.   Berpaling daripada hal-hal yang tidak bermanfaat dan menyambut baik hal-hal yang positif.
13.   Memperhatikan tujuan syariat Islam.
14.   Memperhatikan fakta (Fikih keseimbangan dan fikih prioriti).
15.   Mempersempit yang haram dan yang wajib.
16.   Mempersempit yang haram dan yang wajib.

Mempersempit yang Haram dan yang Wajib

Kaedah-kaedah di atas ada diterang secara terperinci dalam buku Wanita dalam Fiqih al-Qaradhawi. Kita ambil contoh satu kaedah, “Mempersempit yang haram dan yang wajib.” Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, di antara kemudahan yang diperlukan dalam fiqih ialah mempersempit dan tidak berlebihan dalam menetapkan taklif (beban) hukum kepada manusia, terutama dalam hal yang berhubungan dengan wajib dan haram. Kerana kita tidak diperbolehkan untuk memperluas yang wajib dan haram tanpa dalil, melainkan kita harus menetapkannya dengan ketetapan nas yang shahih dan sharih (jelas) atas diwajibkannya yang wajib dan diharamkannya yang haram, atau dengan qiyas (bandingan terhadap sesuatu yang serupa, contoh dadah diqiyas dengan rokok) yang jelas illatnya (sebab) terhadap nas.
Para ulama salaf sangat berhati-hati dalam mengharamkan sesuatu atau mewajibkan sesuatu, kecuali apabila mereka memiliki dalil yang tidak diragukan sama sekali, sebagaimana yang dilakukan mazhab Hanafi, dan jika tidak, maka mereka menurunkan hukumnya  dari darjat fardhu kepada wajib, dan dari darjat haram kepada makruh. Sebab itu dalam perkataan mereka sering menyebut begini contohnya, “Saya tidak suka yang begini,” tetapi mereka tidak berterus terang mengatakan ianya haram, kecuali apabila mereka mengetahui ada dalil yang berterus-terang mengatakannya haram. Contoh, sebelum ayat haramnya arak diturunkan, sahabat menunjukkan sikap benci kepada arak tapi tidak berani mengatakannya haram meskipun banyak mudaratnya dalam masyarakat. Sehingga Allah secara bertahap menurunkan wahyu yang benar-benar mengharamkan arak. Barulah mereka berani mengatakan arak itu haram.
Daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah, Islam benar-benar memperhatikan dalam mempersempit perintah dan memperluas “kawasan yang dimaafkan” kerana berasa kasihan kepada para mukallaf (orang yang memikul tanggung jawab), bukan kerana lupa.
Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika kamu menanyakan di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah maha pengampun lagi maha penyantun. (Al-Maidah: 101).
Rasulullah SAW bersabda, “Orang Muslim yang paling besar dosanya adalah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu hal itu menjadi diharamkan gara-gara pertanyaannya.” (Muttafaqun a’laih).
Baginda bersabda lagi, “Sesungguhnya Allah telah menetapkan hukum-hukum maka janganlah kalian melanggarnya. Mewajibkan kewajipan-kewajipan maka janganlah kalian mensia-siakannya. Mengharamkan sesuatu maka janganlah kamu melakukannya, dan mendiamkan sesuatu kerana kasihan kepada kalian, bukan kerana lupa maka janganlah kalian mempersoalkannya. (HR Daruqutni dan al-Hakim, dan dia menilainya sahih. Rujuk Al-Qaradhawi, Nahwa Fiqh Muyassar).

        Asal Sesuatu adalah Mubah (Harus, dibolehkan).

Prinsip awal yang ditetapkan oleh Islam, bahawa asal segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah, baik berupa benda mahupun manfaat, adalah halal dan mubah, dan tidak haram kecuali ada nas sharih (jelas) yang mengharamkannya. Apabila nasnya tidak sahih, atau tidak sharih (jelas) menunjukkan pada yang haram, maka sesuatu itu hukumnya tetap harus. Kata Imam Asy-Syatibi,
“Tidak ada perintah kecuali dengan dalil, apabila tidak ada dalil yang menunjukkan perintah untuk melakukannya, maka perintah itu gugur dengannya.” (Rujuk kitab al-Muwafaqat oleh Asy-Syatibi).
Dari sinilah kawasan yang diharamkan oleh Allah menjadi sangat sempit dan justeru kawasan yang dihalakan semakin luas dan banyak. Hal itu tidak lain kerana nas-nas sharih yang mengharamkan jumlahnya sangat sedikit. Sedangkan yang tidak dinyatakan halal atau haram, maka ia tetap pada hukum asalnya, iaitu mubah (harus) dan termasuk ke dalam kawasan yang dimaafkan oleh Allah swt.




[1] Erti tabarruj dalam fiqih al-Qaradhawi ialah: Membiarkan anggota aurat tubuh terbuka dan tampak bebas dilihat oleh mata.
                Ilustrasi  makna tabaruj yang dilakukan oleh wanita jahiliah dahulu menurut para ulama tafsir iaitu:
·         1.       Bercampur dengan lelaki
·         2.       Berjalan melenggang-lenggokkan tubuh dan genit
·         3.       Mengenakan tudung tetapi tetap menampakkan aurat dan kecantikan tubuh-badannya.