Wednesday, 30 January 2013


NABI KITA MAKHLUK PERTAMA DICIPTA?

SATURDAY, 12 JANUARY 2013



Kita hidup dengan banyak persepsi. Jernihkannya dengan mengkaji.

              
                Dulu, saya ingat persoalan ini tidak penting. Sekali pandang, ianya nampak karut. Tapi, bila saya ‘google’ sekitar persoalan ini, saya terkejut apabila mendapati ramai orang memperkatakannya. Bukan sahaja oleh segelintir umat Islam di Malaysia bahkan minoriti umat di serata dunia.
Impaknya, ada pihak yang membentuk kumpulan mereka bersandarkan kepercayaan-kepercayaan pelik seumpama ini.  Jika dikaji lebih dalam, mereka bagai meletakkan kedudukan mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah oleh pemimpin mereka seakan setanding dengan kedudukan al-Quran dan al-Sunnah sebagai ‘sumber’ rujukan dalil-dalil syarak.
Hakikatnya, mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah memanglah wujud dan tsabit dalam Islam. Kita tidak boleh menafikannya mentah-mentah. Tidak boleh juga mengambilnya bulat-bulat. Kedudukannya, ia cuma sokongan tambahan, bukan sumber. Dianggap cahaya atas cahaya.
Ia tidak diambil kira melainkan dengan syarat ia tidak bertembung dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. Ini disebabkan oleh ia banyak bercampur baur dengan sangkaan dan kecenderungan diri sendiri.


Jika Benar Baginda Makhluk Pertama, Apa Buktinya?

Ada kefahaman yang bergayutan di minda orang awam bahawa Nabi Muhammad SAW diciptakan daripada cahaya. Bahkan mereka percaya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah makhluk pertama yang diciptakan.
Adakah kefahaman ini diceduk daripada sumber yang sahih? Moga Allah SWT memberi petunjuk kepada pena saya untuk mengulasnya, berpandukan ulasan para ulama muktabar.
                Apa buktinya Nabi kita makhluk pertama?
                Ada bukti wahyu? Ada bukti Sains?
                Tidak ada!
                Jika benar sekalipun, apa faedahnya kefahaman ini kepada peradaban dunia?
                Daripada kita memeningkan kepala berfikir sesuatu yang ‘pelik’ ini, lebih baik kita berpegang kepada apa yang ditetapkan secara ‘mutawatir’. Iaitu ‘sesuatu’ yang diceritakan oleh para sahabat yang ramai. Bahkan, pada setiap generasi, ada golongan yang dipercayai turut menceritakan perkara tersebut. Keadaan ini menyebabkan kita yakin, mustahil mereka berpakat untuk berdusta.
Nabi kita dimuliakan Allah kerana akhlaknya yang agung. Kerana kenabian-Nya. Bukan kerana alasan keutamaan yang tidak jelas kesahihannya. Allah SWT memuji keutamaan baginda secara jelas,
                “Dan sesungguhnya kamu benar-benar orang yang berbudi pekerti yang agung.”(Surah al-Qalam:  4.)
                Baginda mulia kerana berakhlak mulia. Bukan kerana baginda makhluk pertama.


Ada Kelahiran dan Kewafatan

                Sejarah merekodkan peristiwa yang boleh diterima akal tentang permulaan dan pengakhiran riwayat hidup baginda. Baginda dilahirkan sebagaimana manusia biasa dilahirkan. Punya ibu dan ayah. Punya tarikh lahir. Punya tempat dilahirkan.
                “Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa.’” (Surah al-Kahfi: 110.)
Setiap tahun, kita mengenang nostalgia indah ini. Pada tahun gajah, lahirlah seorang bayi barakah di bumi Makkah. Baginda mempunyai nasab yang jelas, bukan nasab yang ‘ajaib’. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Ayahnya pula bernama Abdullah bin Abdul Muthalib al-Hasyimi al-Quraisy.
Baginda menjadi mata-mata rantai kepada perjuangan Rasul-rasul terdahulu. Sama menyebarkan risalah tauhid. Hukum syariatnya sahaja berbeza. Baginda penerus Nabi dan Rasul, bukan Nabi pertama yang diutus.
Rasulullah SAW membuat analogi yang menarik. Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah, dia menyempurnakannya kecuali satu sudut tempat meletakkan batu-batanya. Orang ramai mengelilinginya dan merasa takjub melihat keindahan binaan ini. Mereka berkata, ‘Kalaulah bukan kerana ruang kosong bagi bata ini, ia akan lebih cantik,’. Akulah ruang kosong bagi bata itu, akulah penutup bagi nabi-nabi.” (Muttafaq a’laih).
Baginda wafat sebagai mana manusia lain diwafatkan. Datang Izrail lalu diambil nyawanya. Baginda mempunyai tarikh kewafatan. Tempat kewafatan. Tempat dimaqamkan. Semuanya jelas menunjukkan kehidupan baginda di dunia mempunyai had masa.


 Sumber Wahyu, Sokongan Akal

                Mari kita renung sejenak. Kelahiran Adam yang tidak berayah dan beribu, secara kasarnya, tidak boleh diterima logik. Begitu juga kelahiran Isa yang tidak berayah, tidak selaras dengan akal manusia yang terbatas. Tapi kesahihannya mempunyai dalil wahyu.  Maka, ia boleh diterima.
Akal perlu tunduk kepada wahyu. Kedudukan wahyu adalah lebih tinggi berbanding akal. Wahyu adalah sumber. Manakala, akal cuma sokongan. Itu tidak bermakna akal tidak penting. Akal tetap dimuliakan Islam. Hinggakan, seringkali disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran, “Kenapa kamu tak guna akal?”
Kita kembali kepada isu penciptaan Muhammad SAW sebagai makhluk pertama dan diciptakan daripada cahaya. Bukankah ia tidak dapat diterima akal? Bahkan tidak pula mempunyai sumber wahyu yang sahih. Jadi, bagaimana kita dapat menerima idea ini?
Apa yang jelas, kehidupan baginda mempunyai batas masa.  Waktunya terhad. Tatkala baginda dijemput mengadap-Nya, ada sahabat yang sukar menerima. Namun, mereka terpaksa tunduk kepada kalam-Nya, “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati.” (Az-Zumar: 30.)


Nabi Bimbang Jika Kita Berlebihan

                Ya, kita diwajibkan mencintai Nabi melebihi cinta kepada nyawa dan darah kita sendiri. Namun, kita diingatkan agar jangan sampai bersikap keterlaluan. Hingga ada yang mengangkat Nabi sebagai Tuhan. Umat-umat terdahulu ramai yang terpisah daripada hidayah Allah berpunca daripada sikap keterlaluan mereka dalam memuja dan menyanjung. Allah SWT mengajar Nabinya menyeru,
                “Janganlah kamu sekalian menyanjungku seperti mana kaum Nasrani menyanjung Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku adalah hamba Allah dan rasul-Nya.” (HR Bukhari).
                Agak berlebihan jika kita menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya. Itu seakan-akan meletakkan Nabi di posisi malaikat bukannya manusia. Wahyu menjelaskan Nabi SAW adalah manusia. Baginda diciptakan daripada air yang terpancut. Sama seperti manusia yang lain.
                Boleh jadi, mereka yang menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya mengambil dalil ini,
                “….Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya (Rasulullah) dari Allah, dan kitab yang menerangkan.” (Al-Maidah: 15)
                Sastera Allah maha tinggi. Bukan Rasulullah SAW sahaja yang digambarkan seperti cahaya, bahkan al-Quran juga sering disifatkan seperti cahaya. Antara lain Allah berkata,
                “Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya serta cahayanya (al-Quran) yang telah kami turunkan. (At-Thaghabun: 8).
                Kiasan disangka hakikat. Bimbang, kepercayaan ini akan membawa kepada penyanjungan yang tidak benar. Hinggakan, ada orang yang mendendangkan salawat berbunyi, “Salawat dan salam bagimu wahai makhluk Allah yang pertama.”
 Lebih membimbangkan jika kepercayaan ini akan mengheret penyanjungan Nabi setaraf Tuhan sebagaimana yang terjadi kepada orang-orang Kristian. Nauzubillah.


Kalau Benar Sayangkan Nabi…

Ummat Islam mencintai Nabi Muhammad SAW. Ummat memuliakan setiap detik yang dilalui oleh baginda. Tatkala Nabi kita dihina, hati-hati kita segera bertautan erat seluruh dunia. Bersatu membela baginda. Demonstrasi aman bergelombang di mana-mana. Indahnya cinta yang tulus ini.
                Dalam mengekspresikan cinta suci, kita perlu berhati-hati. Ada pemikiran dan tindakan yang berlebih-lebihan hingga bertentangan dengan seruan baginda. Semuanya atas nama cinta. Namun jika tidak bersandarkan sumber yang sahih dan rasional manusia, ia jadi celaka.
                Bukankah Nabi kita tidak mengajar membunuh orang yang tiada kena mengena? Dengan ajaran mulia, baginda menawarkan rasa aman kepada dunia. Rasa aman berhak dinikmati oleh orang yang tidak bersalah.
Kalau benar sayangkan Nabi, ikutlah seruannya secara menyeluruh. Kajilah sirah baginda bersungguh-sungguh. Barulah lahir peribadi umatnya yang teguh dan layak dibuat contoh. Berpegang dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, insya-Allah kita tidak akan sesat selama-lamanya.


ISLAM MEMPERSEMPITKAN YANG HARAM DAN MELUASKAN YANG HALAL
FATIMAH SYARHA ● SUNDAY, 11 SEPTEMBER 2011

Apa yang Allah haramkan sebelum kahwin, sekejap saja. Sabarlah sekejap! Dah kahwin nanti, yang halal amatlah luas. Yang halal lebih indah kerana benaungkan redha Allah.

Soalan:

Assalamualaikum WBT,

Akak, apa pandangan akak pada tudung shawl ni? Tentunya apabila singkat, ia sudah pasti salah. Apabila yang labuh, shawl ini bertujuan mengikut arus fesyen kini.
 

Seolah-olah, muslimah kita tidak pernah bebas dari rasa ingin bergaya. Tidak senang andai diri tidak sama dan tidak ikut fesyen semasa. Bagaikan, satu kewajipan untuk ikut serta bersaing antara satu sama lain.

Saya kurang setuju, kerana sekalipun menutup aurat, bersaing sebegini, bagaikan menuju ke arah tabarruj pula.
 

Sedangkan, mereka yang memakai tudung labuh, BEBAS dari semua ini. Tidak dinafikan juga bagi mereka yang bertudung menutup dada namun tidak bertabarruj.

Apa pandangan akak?
 

p.s: Sehingga ke hari ini, saya mempunyai halangan yang besar untuk bertudung labuh. Hanya boleh mengenakan selendang berkain tebal dan labuh menutupi dada. Doakan saya semoga halangan yang satu itu boleh dikendalikan sebaiknya :-(

Jawapan:

Adik yang disayangi fillah,
Mari kita teliti mana yang lebih hikmah dalam gaya dakwah berikut:

     a)  Tabarruj:
1.       Mengkritik muslimah yang berfesyen sebagai bertabarruj dan melabel dia sebagai orang yang berdosa atau membuat kesalahan.

 (Atau)

2.       Memahami bahawa tabarruj itu haram tapi ‘maksud’ tabarruj itu diperselisihkan oleh para ulama[1]. Tidak memaksakan orang lain mengikut ‘maksud’ yang kita faham kerana ‘maksud’ yang kita faham itu mungkin berat bagi orang lain. Menghargai perselisihan dalam masalah ini tetap dalam daerah pahala.

b) Fesyen:
1.  Memperleceh muslimah yang bergaya dengan shawl dan sebagainya sebagai mengikut-ngikut arus fesyen, berprasangka buruk bahawa niat hatinya untuk bersaing bukannya untuk Islam, dan menganggap industri fesyen itu haram.

(Atau)

3.       Memahami bahawa muslimah itu melakukan sesuatu yang harus kerana tiada dalil haram terhadap pilihannya itu. Menganggap asal hukum bagi dunia fesyen adalah harus. Daripada sekadar mengkritik keterukan fesyen yang dicipta pada hari ini, dia tampil memberikan alternatif bagaimana fesyen-fesyen muslimah yang masih melepasi syarat-syarat dan batasan-batasan sebagai gaya dakwah bil hal (dakwah dengan contoh tauladan).

Fatwa Berat atau Fatwa Mudah Pilihan Hati?

Kita terbiasa dengan fatwa-fatwa yang berat berkenaan masalah wanita selama ini kerana kebanyakan para ustaz yang baik yang sudi mengajar kita itu terbiasa merujuk terus fatwa-fatwa lama dan kurang memerhatikan fiqah perbandingan (fiqh muqaran)dan fiqah kontemporari (fiqh mua’shirah) . Alhamdulillah, sejuta penghargaan buat mereka kerana ijtihad para ulama masih dalam daerah pahala.

Akak lebih menemui ketenangan beragama, kemudahan beramal, keindahan toleransi , kekuatan penyatuan dan kehalusan seni dakwah dalam fatwa dan ijtihad ulama-ulama muktabar kontemporari dalam masalah-masalah wanita. Khususnya para ulama muktabar itu ialah dari kalangan mereka yang bermanhaj pertengahan seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Abdul Karim Zaidan, Syeikh Said Ramadhan al-Buthi dan seumpamanya. Kebanyakan mereka lahir dari tarbiyyah (didikan) Ikhwanul muslimin. Seperti juga para ulama yang lain, mereka berijtihad dengan ilmu bukan dengan nafsu.

Syukur sangat kerana golongan ulama muktabar ini mendedahkan suatu kefahaman dan tafsiran Al-Quran dan hadis yang membuatkan ummah berasakan Islam itu benar-benar mudah dan praktikal untuk diamalkan. Yang halal amat luas sebaliknya yang haram amat sempit dalam Islam. Allah mempersoalkan kita di akhirat nanti berdasarkan ilmu dan kefahaman kita. Oleh sebab itu, bagi mereka yang tetap ingin berpegang dengan fatwa-fatwa yang berat, silakan. Tiada masalah. Tapi perlu bersedia beramal dengan fatwa-fatwa berat yang dipegang itu kerana Allah bakal mempersolkan seseorang berdasarkan apa yang kita pegang.

Contohnya, bagi mereka yang berpegang dengan fatwa bahawa hukum asal purdah itu adalah wajib, maka wajiblah baginya menutup wajah.  Wajiblah baginya tidak meletak gambar ‘wajah’ di facebook meskipun untuk tujuan dakwah bil hal (dakwah dengan contoh tauladan). Wajiblah baginya makan nyorok-nyorok masa kenduri-kendara, bimbang nanti ternampak wajahnya.  Wajiblah baginya tidak mencari pekerjaan yang mewajibkannya membuka wajah. Dan banyak lagi implikasi ‘pegangan seseorang’ dalam praktikaliti hidupnya. Sebaliknya, bagi mereka yang berpegang hukum asal purdah cuma harus, maka dia mempunyai kebebasan untuk berpurdah atau tidak berpurdah mengikut keperluannya. Hatinya tenang dan tidak diburu rasa berdosa kerana dia cuma mengikut ijtihad jumhur ulama yang masih dalam daerah pahala, samada 1 atau 2 pahala.

Kaedah-kaedah Fiqih Khususnya Berkaitan Wanita

Kita kembali sejenak kepada manhaj fiqah dan kaedah-kaedahnya khusus dalam isu-isu wanita. Antaranya ialah:
1.       Menjadikan nas sharih (jelas) Al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan.
2.       Mengaitkan nas antara satu dengan yang lain.
3.       Menggabungkan antara fiqah dan hadis.
4.       Menghormati ijmak yang diyakini.
5.       Memilih mazhab dan mempelajari buku-bukunya.
6.       Memerhatikan keadaan zaman dan lingkungan dalam berfatwa.
7.       Mempersempit yang haram dan yang wajib.
8.       Bersikap moderat (sederhana, pertengahan) dan berimbang.
9.       Memperhatikan kepentingan umum.
10.   Mempermudah (terutama ketika terjadi bencana).
11.   Berbicara kepada orang lain dalam bahasa zamannya.
12.   Berpaling daripada hal-hal yang tidak bermanfaat dan menyambut baik hal-hal yang positif.
13.   Memperhatikan tujuan syariat Islam.
14.   Memperhatikan fakta (Fikih keseimbangan dan fikih prioriti).
15.   Mempersempit yang haram dan yang wajib.
16.   Mempersempit yang haram dan yang wajib.

Mempersempit yang Haram dan yang Wajib

Kaedah-kaedah di atas ada diterang secara terperinci dalam buku Wanita dalam Fiqih al-Qaradhawi. Kita ambil contoh satu kaedah, “Mempersempit yang haram dan yang wajib.” Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, di antara kemudahan yang diperlukan dalam fiqih ialah mempersempit dan tidak berlebihan dalam menetapkan taklif (beban) hukum kepada manusia, terutama dalam hal yang berhubungan dengan wajib dan haram. Kerana kita tidak diperbolehkan untuk memperluas yang wajib dan haram tanpa dalil, melainkan kita harus menetapkannya dengan ketetapan nas yang shahih dan sharih (jelas) atas diwajibkannya yang wajib dan diharamkannya yang haram, atau dengan qiyas (bandingan terhadap sesuatu yang serupa, contoh dadah diqiyas dengan rokok) yang jelas illatnya (sebab) terhadap nas.
Para ulama salaf sangat berhati-hati dalam mengharamkan sesuatu atau mewajibkan sesuatu, kecuali apabila mereka memiliki dalil yang tidak diragukan sama sekali, sebagaimana yang dilakukan mazhab Hanafi, dan jika tidak, maka mereka menurunkan hukumnya  dari darjat fardhu kepada wajib, dan dari darjat haram kepada makruh. Sebab itu dalam perkataan mereka sering menyebut begini contohnya, “Saya tidak suka yang begini,” tetapi mereka tidak berterus terang mengatakan ianya haram, kecuali apabila mereka mengetahui ada dalil yang berterus-terang mengatakannya haram. Contoh, sebelum ayat haramnya arak diturunkan, sahabat menunjukkan sikap benci kepada arak tapi tidak berani mengatakannya haram meskipun banyak mudaratnya dalam masyarakat. Sehingga Allah secara bertahap menurunkan wahyu yang benar-benar mengharamkan arak. Barulah mereka berani mengatakan arak itu haram.
Daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah, Islam benar-benar memperhatikan dalam mempersempit perintah dan memperluas “kawasan yang dimaafkan” kerana berasa kasihan kepada para mukallaf (orang yang memikul tanggung jawab), bukan kerana lupa.
Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika kamu menanyakan di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah maha pengampun lagi maha penyantun. (Al-Maidah: 101).
Rasulullah SAW bersabda, “Orang Muslim yang paling besar dosanya adalah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu hal itu menjadi diharamkan gara-gara pertanyaannya.” (Muttafaqun a’laih).
Baginda bersabda lagi, “Sesungguhnya Allah telah menetapkan hukum-hukum maka janganlah kalian melanggarnya. Mewajibkan kewajipan-kewajipan maka janganlah kalian mensia-siakannya. Mengharamkan sesuatu maka janganlah kamu melakukannya, dan mendiamkan sesuatu kerana kasihan kepada kalian, bukan kerana lupa maka janganlah kalian mempersoalkannya. (HR Daruqutni dan al-Hakim, dan dia menilainya sahih. Rujuk Al-Qaradhawi, Nahwa Fiqh Muyassar).

        Asal Sesuatu adalah Mubah (Harus, dibolehkan).

Prinsip awal yang ditetapkan oleh Islam, bahawa asal segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah, baik berupa benda mahupun manfaat, adalah halal dan mubah, dan tidak haram kecuali ada nas sharih (jelas) yang mengharamkannya. Apabila nasnya tidak sahih, atau tidak sharih (jelas) menunjukkan pada yang haram, maka sesuatu itu hukumnya tetap harus. Kata Imam Asy-Syatibi,
“Tidak ada perintah kecuali dengan dalil, apabila tidak ada dalil yang menunjukkan perintah untuk melakukannya, maka perintah itu gugur dengannya.” (Rujuk kitab al-Muwafaqat oleh Asy-Syatibi).
Dari sinilah kawasan yang diharamkan oleh Allah menjadi sangat sempit dan justeru kawasan yang dihalakan semakin luas dan banyak. Hal itu tidak lain kerana nas-nas sharih yang mengharamkan jumlahnya sangat sedikit. Sedangkan yang tidak dinyatakan halal atau haram, maka ia tetap pada hukum asalnya, iaitu mubah (harus) dan termasuk ke dalam kawasan yang dimaafkan oleh Allah swt.




[1] Erti tabarruj dalam fiqih al-Qaradhawi ialah: Membiarkan anggota aurat tubuh terbuka dan tampak bebas dilihat oleh mata.
                Ilustrasi  makna tabaruj yang dilakukan oleh wanita jahiliah dahulu menurut para ulama tafsir iaitu:
·         1.       Bercampur dengan lelaki
·         2.       Berjalan melenggang-lenggokkan tubuh dan genit
·         3.       Mengenakan tudung tetapi tetap menampakkan aurat dan kecantikan tubuh-badannya.

TREND ‘TAQRABU AZ-ZINA’ SEBELUM BERNIKAH


MONDAY, 23 MAY 2011

Analogi Harimau dan Nyamuk

        Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aummm!!!
Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu, apa yang terjadi? Sudah tentu ada di antara kita yang bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok di bawah katil, mengunci diri di dalam bilik mandi dan ada juga yang pengsan terus.
       Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita.
Nggg!!!
Apa yang terjadi? Hmm, ia terbang bebas ke hulu, ke hilir. Ramai yang buat tidak hairan sahaja. Apalah yang perlu ditakutkan pada seekor nyamuk, hati berbisik. Cuma seekor.
        Selalunya begitu, semua orang takut kepada perkara yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada perkara yang kecil. Sedangkan, jika ingin dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, mana lebih ramai?
Bandingan mudahnya, berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang? 
Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, demam malaria, Japanese Encephalitis, kaki untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?     
Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan benci berzina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.
Namun ramai orang yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitiviti untuk berhati-hati dengannya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang. 
Setiap dosa besar bermula daripada dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah ahli dosa.
عن الأغرَِِِبن يسار المزني رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلي الله عليه وسلم : (( يا أيها الناس، توبوا إلي الله واستغفروه ، فإني أتوب في اليوم مائة مرة))(58) ( رواه مسلم)
“Dari al-Agharr bin Yasar al-Muzani radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
”Wahai sekalian manusia, bertaubat dan minta ampunlah (istighfar) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah seratus kali setiap hari.” (HR. Muslim)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang senantiasa bertaubat beristighfar kepada Allah, hal ini sebagaimana hadits di atas dan juga hadits berikut ini:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: (( والله إني لاستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة))(57) ( رواه البخاري)
“Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:”Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali.”(HR.Bukhari)

Tidak hairanlah al-Quran menyuruh berawas pada perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah SWT, “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah al-Isra’: 32).

Nyamuk-nyamuk Ikhtilat

            Sms tanpa  urusan, call tanpa urusan, datingtanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.
            Teknologi tidak salah. Tapi manusialah yang suka menggunakannya dengan tujuan yang salah. Berurusan atau bermuamalat dengan lawan jenis menggunakan teknologi-teknologi ini bukannya salah. Tapi manusia suka menggunakannya untuk bergaul bebas atau berikhtilat.
Apa itu ikhtilat? 
 Ikhtilath ada maksudnya dari segi bahasa dan istilah. Dalam Bahasa Arab, ikhtilath sering dirujuk sebagai sesuatu yang negatif. Seperti perkataan khalwat umumnya difahami sebagai sesuatu yang negatif.
Sedangkan dari segi bahawa ikhtilat dan khalwat boleh membawa maksud yang negatif dan positif.
Ikhtilat di sini bermaksud pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa urusan. Asal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram.
Namun jika atas dasar urusan dan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Ia kurang disebut sebagai ikhtilat(walaupun dari segi bahasa sebenarnya boleh juga disebutikhtilat yang dibenarkan) sebaliknya disebutmuamalat. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah harus iaitu al-aslu fil muamalat mubah.
Ada banyak urusan. Urusan jual beli, kerja, persatuan, pelajaran, khidmat kaunseling, dan sebagainya. Semua ini urusan. Ianya harus. Namun, ianya bergantung juga pada niat hati masing-masing.
Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, al-darurah tubiihul mahzurat  bermaksud darurat membolehkan apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.
Namun, pembolehan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya, ada adab,akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, al-dorurah tuqaddar biqadariha bermaksud darurat diukur dengan kadarnya.
Masalahnya, ramai orang yang menjadikan urusan satu alasan untuk menghalalkan ikhtilat yang terlarang.Call, sms, dating, chatting berbaur peribadi yang diselit dicelah-celah urusan kian membarah sebagai budaya. Sekadar ingin bertanya, 
Dah makan ke? 
Tengah  buat apa tu?
Esok nak pakai baju warna apa? 
Dah tidur ke?  
Adakah  ini dikatakan urusan? Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa, bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing. Mungkin benar adanya urusan di sebalik pertanyaan-pertanyaan seperti ini bergantung kepada niat. Wallahua'lam. Kita hanya melihat luaran, Allah lebih  tahu maksud dalaman.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan?
Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah. 
Sabda Rasulullah SAW,
عن النواس بن سمعان عن النبي قال: (( البر حسن الخلق. والإثم ما حاك في نفسك
وآرهت أن یطلع عليه الناس )). رواه مسلم. وعن وابصة بن معبد قال: (( أتيت رسول
الله e فقال: ( جئت تسأل عن البر؟ قلت: نعم. قال: استفت قلبك البر ما اطمأنت إليه النفس
واطمأن إليه القلب، والإثم ما حاك في النفس وتردد في الصدر وإن أفتاك الناس وأفتوك ))
حدیث حسن رویناه مي مسندي الإمامين؛ أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن.
Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda: Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya. (Hadis riwayat al-lmam Muslim)
Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu. Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu. (Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik).
Cinta Fitnah
            Cinta yang asalnya suci dan bersih di hati setiap insan boleh tercemar apabila disalurkan dengan jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi apabila ditanya tentang bercinta sebelum bernikah, “Saya ingin tegaskan kembali apa yang selalu saya katakan, saya tidak memuji apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum bernikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat.” (Rujuk buku Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi).
            Katanya lagi, “Banyak orang yang memulakan cara bercinta dengan cara yang tidak benar, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia seringkali dilakukan oleh anak-anak muda ketika menikmati waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasanya yang sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudiaannya ketagihan. Awalnya bercanda tetapi akhirnya serius.”
            Menghampiri zina semakin menjadi trend muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasulullah SAW mengingatkan:
حبك للشئ يعمى ويصم (رواه أحمد)

“Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuatkan kamu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad).
          Soal cinta amat akrab dengan soal hati.  Oleh sebab  itulah hati perlu  berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta  dan sayang yang suci itu terheret  menjadi rasa ingin sms selalu, call selalu, jumpa selalu. Seterusnya, hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarah anggota  badan  seperti lidah,  tangan,  kaki, mulut dan telinga, bertindak sesuatu secara salah. Ketika inilah fitrah menjadi fitnah.    

Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang ‘berat-berat’ terus. Ia biasanya dimulai dengan yang ‘ringan-ringan’ dahulu atau yang disebut sebagai menghampiri zina.
            Ingat pesan Nabi,

فالعين تزنى وزناها النظر
واللسان يزنى وزناه النطق
والرجل تزنى وزناها الخطى
واليد تزنى وزناها البطش
والقلب يهوى ويتمنى
والفرج يصدق ذلك أو يكذبه
 (رواه مسلم والبخارى وأبو داود)
Mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (tanpa keperluan),
Lisan itu berzina dan zinanya adalah bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya),
Kaki itu berzina dan zinanya adalah melangkah (untuk bermaksiat),
Tangan itu berzina dan zinanya ialah merangkul (untuk bermaksiat),
Hati itu berhawa dan berangan-angan,
Faraj membenarkan atau mendustakannya.

Dalam mengambil  sikap berhati-hati menjaga hati, kita bukan  sahaja takut hati asyik membayangkan persetubuhan luar nikah. Malah, jagalah hati daripada asyik membayangkan perkara-perkara yang menghampiri zina daripada sekecil-kecil perkara seperti berhubungan, berjumpa, berpelukan, bergeselan dan sebagainya. Jika terus dilayan, hati akan  terheret jauh dan makin jauh. Anggota badan mula tidak keruan untuk bertindak tatkala menerima tekanan rajanya.

Remaja Yang Dikagumi Allah

            Cinta fitnah yang tersalur dengan jalan-jalan menghampiri zina ini tidak ke mana. Orang yang memilih cara ini hanya memilih untuk disakiti dan dikecewakan samada di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali.
            Allah SWT mengingatkan kita,
الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين (الزخرف: 67)
“Teman-teman kesayangan pada hari itu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.”
            Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri.  Remaja yang membina kualiti fardu Muslim insya-Allah akan dianugerahi Allah dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah.
            Sabda Rasulullah SAW,
  • عجب ربك من الشاب ليست له صبوة (رواه أحمد)
  • Allah merasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan. (Riwayat Ahmad)