Wednesday, 27 March 2013

KEPENTINGAN TAQWA


KEPENTINGAN TAQWA
Taqwa sangat penting. Justeru, ia dijadikan satu pesanan yang wajib diperdengarkan oleh khatib apabila berkhutbah. Seorang lelaki yang berumur 45 tahun akan mendengar sekurang-kurangnya 1560 kali pesan taqwa dalam hidupnya (jika dia tidak pernah meninggalkan solat Jumaat bermula daripada umurnya 15 tahun). Dan di dalam Al Quran, perkataan yang berkaitan taqwa Allah sebutkan sebanyak 272.
Taqwa inilah yang diwasiatkan oleh Allah awal-awal lagi kepada Nabi Adam a.s: “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat ( Al-A’raf : 26)
Taqwa juga diletakan sebagai penanda aras kemuliaan manusia oleh Pencipta manusia sendiri (Allah). Perbedaan manusia dan kemuliaan manusia ditentukan oleh nilai dan kadar taqwanya yang ada di dalam dadanya. Firman Allah: “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang bertaqwa.”(Al-Hujurat: 13)
Seruan Allah pada surat Ali Imran ayat 102, “Bertaqwalah kamu sekalian dengan sebenar-benarnya taqwa dan janganlah kamu sekali-kali mati kecuali dalam keadaan muslim”. Dalam ayat yang lain, Allah menegaskan lagi, “telah Aku wasiatkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan kepada kamu agar kamu sekelian bertaqwa kepada Allah.
Bayangkan jika ada seorang pemimpin negara mengulang-ulang satu perkara sama ada dalam bentuk gagasan,  wawasan, peringatan atau amaran, tentulah perkara itu sangat penting kepada rakyatnya. Maka lebih-lebih lagi bila Allah – Pemerintah sekalian alam, telah menegaskan berkali-kali tentang kepentingan taqwa. Sudah tentu akan beruntunglah mereka yang mengambil berat tentang pesan itu dan celakalah mereka yang mengabaikannya.
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui kemaslahatan hamba-Nya dari sesiapa pun dan Allah lebih sayang kepada kita lebih dari sesiapa pun, jika ada di dalam kehidupan ini yang lebih banyak manfaat dan kebaikannya dan menyelamatkan selain daripada taqwa, nescaya Allah akan memerintahkan kepada manusia untuk menngambil berat tentang perkara itu. Namun kerana peringatan Allah hanya difokuskan kepada taqwa, maka tentu sahaja itulah perkara yang pertama dan utama mengatasi segala-galanya.
MANFAAT TAQWA
Imam Ghazali ketika menjelaskan manfaat taqwa telah berkata:
“Taqwa itu harta terpendam yang berharga sekali jika engkau mendapatnya. Maka seolah-olah berkumpul kebaikan dunia dan akhirat di dalam taqwa itu. Dan perhatikan apa yang difirmankan dalam Al Quran mengenai taqwa. Banyak sekali Allah memberi nkeuntungan, pahala yang besar dan keselamatan yang  disandarkan pada sifat taqwa.”

Apa yang dikatakan oleh Imam Ghazali itu adalah bersumberkan ayat Quran ini:
“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di Akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah.Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (Yunus: 62-64)
Antara kelebihan taqwa di dalam Al Quran ialah:
  1. 1. Bantuan dan perlindungan Allah.
Allah akan hanya membela orang yang bertaqwa. Menjadi seorang Islam, belum ada jaminan mendapat bantuan Allah. Ini menjelaskan mengapa umat Islam ditindas dan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam pada hari ini. Firman Allah:
“Allah jadi pembela (pembantu) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)
  1. 2. Penyelesaian masalah dan rezeki.
Selain daripada rajin berusaha dan sentiasa produktif, orang bertaqwa akan mendapat menyelesaikan masalah dalam hidup dan rezekinya dijamin oleh Allah saw.Firman Allah:
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia daripada masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (At Thalaq: 2-3)
“Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)
3. Dijanjikan syurga dan diselamatkan dari neraka.
“Akan tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhannya bagi mereka Syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah.” (Ali Imran: 198)
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada Syurga yang luas seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 133)
“ Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa.” (Maryam: 63)
“Lalu Aku selamatkan orang-orang bertaqwa dan menjauhkan Neraka bagi mereka yang bertaqwa.”
  1. 4. Ditutupi kesalahan dan dilipatgandakan pahala.
“Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan melipatgandakan pahala baginya.” (At Thalaq: 5)
  1. 5. Darjat yang tinggi di Hari Akhirat.
“Kehidupan dunia kelihatan indah bagi orang kafir sehingga mereka memandang rendah kepada orang beriman, tetapi orang yang bertaqwa adalah lebih tinggi daripada mereka di hari Kiamat.” (Al Baqarah: 212)
6. Dicintai Allah.
“Sebenarnya, siapa yang menepati janji (yang dibuatnya) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 76)
  1. 7. Diampuni dosa.
Orang bertaqwa begitu sensitif dengan dosa. Bahkan mereka sentiasa merasa berdosa walaupun tidak terlibat dengan dosa. Justeru mereka sentiasa melazimi taubat. Dan taubat mereka akan sentiasa diterima.
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan kamu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Al Anfal: 29)
8. Diterima amalan.
“Sesungguhnya Allah hanya menerima ibadah (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27)
9. Dikurniakan keberkatan hidup.
“Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)
10. Pewaris kekuasaan di bumi.
“Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang soleh (bertaqwa).” (Al Anbiya: 105)
11. Diberi ilmu yang bermanfaat.
Orang bertaqwa akan mendapat tambahan ilmu menerusi pengalaman ilmu yang sedia diketahuinya. Bahkan, ilmu itu bukan hanya berlegar di minda, tetapi menjunam ke hati dengan kefahaman dan pengahayatan yang mendalam.
“Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.” (Al Baqarah: 282)
12. Dipermudahkan urusan.
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan permudahkan segala urusannya.” (At Thalaq: 4)
13. Diselamatkan dari tipu-daya musuh.
Yahudi dan Nasrani terkenal dengan strategi dan perancangan yang licik untuk menghancurkan umat Islam. Mereka begitu sistematik, fokus dan komited untuk melemahkan perjuangan umat Islam. Namun, orang bertaqwa sentiasa berjaya mengenal dan mengatasi tipu-daya mereka itu.
“Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepada kamu.” (Ali Imran: 120)
14. Diberi petunjuk dalam membezakan antara kebenaran dan kebatilan.
Di tengah kecelaruan faham dan kekeliruan bertindak tidak kira pada zaman apa dan situasi apa pun orang bertaqwa sentiasa dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan.
“Hai orang-orang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, Dia akan memberi kepada kamu  furqan (membezakan antara kebenaran dan kebatilan.” Al Anfal: 29
TAQWA MENURUT AL QURAN
Mari kita lihat dulu makna taqwa melalui ayat al Quran. Di dalam Kitab Minhajul Abidin, Imam Ghazali menyenaraikan makna taqwa mengikut Al Quran:
  • Perasaan takut dan hebat.
“Dan kepadaKulah kamu harus takut.”
“Takutlah kamu pada hari dikembalikan kepada Allah.”
  • Bakti dan Tunduk.
“wahai sekalian orang-orang beriman berbaktilah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar bakti.”
  • Membersih hati daripada dosa.
“Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, dan takut kepada Allah serta taqwa kepada-nya  maka mereka adalah orang-orang yang beruntung.”
Jadi, kesimpulan rengkas erti taqwa melalui ayat Quran tersebut adalah taat, takut juga membersihkan hati daripada sebarang kederhakaan. Sebenarnya banyak lagi erti taqwa yang boleh diambil dari al Quran. Antaranya ialah tauhid dan iman, taubat, meninggalkan maksiat dan ikhlas.
Justeru, taqwa itu bolehlah disifatkan sebagai himpunan segala sifat-sifat kebaikan (mahmudah) sama ada yang zahir ataupun yang batin.   Rasulullah saw bersabda:“Hendaknya kamu bertaqwa sebab ia adalah kumpulan segala kebaikan, dan hendaknya engkau berjihad karena ia sikap kependetaan seorang muslim, dan hendaknya engkau selalu berdzikir menyebut nama Allah karena dia cahaya bagimu” (HR. Ibnu Dharis dari Abu Said Al-Khudhari).
ANALOGI PARA SAHABAT
Para sahabat utama Rasulullah saw juga ada memberikan pengertian taqwa dengan pelbagai pendekatan. Ubay bin Ka’ab umpamanya, telah memberi satu analogi yang sangat jelas bila dia ditanya oleh Sayidina Umar r.a, apakah itu taqwa? Dia menjawab; “Pernahkah kamu melalui jalan berduri?” Umar menjawab; “Pernah!” Ubay menyambung, “Lalu apa yang kamu lakukan?” Umar menjawab; “Aku berhati-hati, waspada dan penuh keseriusan.” Maka Ubay berkata; “Maka demikian pulalah taqwa!”
Manakala seorang lagi sahabat Rasulullah saw, yakni Abu Darda r.a telah berkata:
“Kesempurnaan taqwa itu adalah sentiasa seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah ( arahan dan larangannya) walau dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun, kerana takut jatuh di dalam yangharam.”
Apa yang dikatakan oleh Abu Darda itu selaras dengan hadis Rasulullah saw:
“Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan yang hal kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah. ( Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari).
TAQWA DARI SEGI BAHASA
Manakala dari segi bahasa taqwa bererti pemeliharaan, penjagaan atau perlindungan. Ertinya, taqwa itu adalah rasa di dalam hati yang menggerakkan seseorang memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara dosa sama ada besar atau kecil yang boleh memudaratkan agama. Asal-usul taqwa adalah menjaga dari kemusyrikan, dosa dan kejahatan dan hal-hal yang meragukan (syubhat).
Keadaan itu sama dengan orang sakit yang berpantang daripada sesuatu makanan kerana takut penyakitnya bertambah kronik. Taqwa juga berarti kewaspadaan, menjaga benar-benar perintah dan menjauhi larangan.
Perkara yang memudaratkan agama itu terbahagi dua. Pertama, perkara-perkara yang jelas haram. Kedua, perkara-perkara halal yang diambil secara berlebihan. Justeru Imam Ghazali telah membahagikan taqwa itu kepada dua bahagian. Pertama, Taqwa Fardu – istiqamah dan taat menjaga diri daripada melakukan perkara yang haram. Kedua, Taqwa Adab – menahan diri daripada berlebih-lebihan dengan perkara yang halal kerana takut dihisab dan malu kepada Allah pada hari Kiamat kelak.
Menurut para ulama tingkatan  taqwa itu ada tiga:
  1. Membersihkan diri dari syirik.
Maksudnya seseorang itu membersihkan dirinya daripada menyekutukan Allah sama ada dalam akidah (menyembah selain Allah) mahupun dalam ibadah (riyak, ujub, sum’ah).
  1. Membersihkan diri daripada dosa besar.
Taqwa peringkat ini tercapai apabila seseorang menjauhi dosa besar yang zahir seperti minum arak, berzina, judi dan lain-lain. Juga meninggalkan dosa besar yang batin seperti takabur, hasad dengki, tamak dan lain-lain.
  1. Menjauhi dosa-dosa kecil.
Orang bertaqwa tidak memandang kecil atau besarnya dosa tetapi mereka melihat kepada siapa mereka berdosa. Oleh sebab sedar perbuatan dosa itu adalah kepada Allah maka mereka sangat berhati-hati untuk tidak melakukan sebarang dosa sekalipun dosa kecil. Dalam konteks ini Ibn Abbas telah berkata: “Orang bertaqwa itu ialah orang yang menjauhi (menjaga dirinya) daripada syikrik, dosa-dosa besar dan kejahatan (dosa-dosa kecil.”
SUDAHKAH KITA BERTAQWA?
Justeru, orang bertaqwa akan sentiasa memelihara dirinya daripada semua batas dan hukum-hukum agama. Segala yang wajib dan sunat akan dilaksanakannya. Manakala segala yang haram dan makruh akan ditinggalkannya. Bukan itu sahaja malah, mereka sangat berpada-pada dengan segala yang halal kerana takut dihisab (diperhitungkan di akhirat kelak). Ini selaras dengan kata-kata Sayidina Ali: “Aku sangat berhati-hati dengan dunia kerana haramnya diazab, halalnya dihisab.”
Apabila seseorang memelihara hukum-hukum Allah, maka Allah akan memeliharanya. Dan Allahlah sebaik-baik pemelihara. Dalam erti kata yang lain, dengan bertaqwa seseorang telah mengambil Allah sebagai Pemelihara dalam kehidupan dunia dan akhiratnya. Rasulullah saw bersabada: “Peliharalah Allah, maka Allah akan memelihara kamu…”
Soalnya sekarang apakah kita telah dipelihara Allah? Jawabnya bergantung pada pertama,  sejauhmanakah kita telah memelihara hukum-hukam, batasan dan segala kehendak Allah? Jelas sekali tahap ketaqwaan kita masih jauh daripada piawaian yang dikehendaki Allah. Al hasil, kita hingga kini belum mendapat bantuan Allah dalam menghadapi musuh-musuh Islam.
Al Quran telah menegaskan, jaminan kejayaan hanya untuk para muttaqin. Dan orang bertaqwa akan berjaya mengatasi masalahnya dan segala tipu-daya musuh. Hanya menjadi seorang Islam (muslim) belum menjamin kejayaan keatas musuh.
Dan ditegaskan bahawa para muttaqin ialah imereka yang memiliki dua kekuatan. Pertama, ke­kuatan rohaniah yang bersumberkan ibadah dan sifat-sifat mahmudah. Kedua, kekuatan lahiriah yang dibangunkan se­cara optimum mengikut batas keupayaan yang paling tinggi.
Maksudnya, orang bertaqwa ialah mereka yang baik hubu­ngannya dengan Allah dan manusia. Dan mereka juga cemerlang dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan ke­hidupan. Ini selaras dengan peranan manusia di muka bumi sepertimana yang tercatat dalam Al Quran – sebagai hamba, khalifah dan pemakmur muka bumi.
Dilihat dari sudut ini, jelas umat Islam ini belum bertaqwa. Walaupun masih mengakui Islam, tetapi ramai diantara kita tidak meletakkan Islam sebagai landasan pemikiran dan tindakan. Malah ramai pemimpin Islam di seluruh dunia masih di­dominasi oleh pemikiran sekular, sifat mazmumah dan perbuatan mungkar. Walau­pun masih beragama Islam, tetapi inilah yang menyebabkan kita belum layak mendapat pembelaan Allah.
Dari segi kekuatan lahiriah khususnya di bidang ke­tenteraan, ekonomi, sains teknologi, juga jelas kekuatan pihak musuh Islam masih mengatasi kita. Padahal orang muttaqin tidak pernah meminggir­kan faktor ini justeru Allah sendiri telah mengingatkan me­lalui firman-Nya:“Dan bersiap-sedialah kamu dengan segala kekuatan daripada tentera-tentera berkuda…”
Maksudnya, orang yang bertaqwa, tidak sekali-kali mengabaikan persiapan lahiriah secara optimu, justeru itu juga hakikatnya perintah Allah. Bahkan, merekalah yang paling serius mempersiapkan diri sebaik mungkin. Cuma andainya berlaku kekurangan juga maka bantuan Allah akan menampung ’kekurangan’ lahiriah itu dengan syarat ketaqwaan mereka sudah mencapai piawaian yang layak diberi bantuan.
Adalah salah sekali, jika dikatakan para muttaqin hanya bersenjatakan doa dan zikir untuk menentang musuh-musuhnya. Muttaqin yakin, taqwa kekuatan primer dan lahiriah adalah kekuatan sekunder. Inilah yang dibuktikan oleh pemimpin Islam seperti Muhammad Al Fateh dan Sultan Salehuddin Al Ayubi. Mereka ‘pakar’ rohani dan mereka juga ‘pakar’ strategi. Mereka dikurniakan kepintaran akal dan ilham yang luar biasa ketika mengahadapi musuh-musuh Islam.
Malangnya, ketaqwaan dan kekuatan lahiriah kita masih tidak mencapai tahap yang dimaksudkan. Ke­canggihan teknologi dan perancangan yang strategik musuh jauh mengatasi kita. Ditambah dengan kekurangan sifat taqwa, maka kita dengan mudah diratah oleh tipu daya dan kekuatan musuh. Dan ini jelas menunjukkan bahawa kita belum memahami sepenuhnya sama ada yang tersurat apatah lagi yang tersirat di sebalik pesan taqwa!

CINTA DI PERTENGAHAN USIA


CINTA DI PERTENGAHAN USIA

07FEB
CINTA…
DI PERTENGHAN USIA
Ada apa dengan cinta? Untuk apa kita bercinta? Untuk menjawabnya, mari kita fikirkan satu analogi, analogi cinta. Fikirkan tentang sebatang pena. Pena dicipta untuk menulis. Selagi ia digunakan untuk menulis, selagi itulah pena itu berada dalam keadaan selamat dan berguna.
Tetapi sekiranya pena itu digunakan untuk mencucuk, dicampak atau digunakan sebagai pengetuk, maka ia akan rosak. Mengapa?

Pena akan rosak sekiranya ia digunakan bersalahan dengan tujuan ia diciptakan. Ia diciptakan untuk menulis, bukan mengetuk atau mencucuk. Pena yang disalahgunakan akan rosak. Apabila rosak, ia akan dibuang ke dalam tong sampah. Ketika itu ia tidak dinamakan pena lagi. Ia dinamakan sampah!

Begitulah juga cinta. Cinta dicipta oleh Allah untuk dua insan bernama lelaki dan wanita beribadah kepada-Nya. Selagi cinta berlandaskan dan bermatlamatkan ibadah, yakni selaras dengan tujuan ia diciptakan, maka selagi itu cinta itu akan selamat dan bahagia. Sebaliknya, jika cinta itu diarahkan secara bertentangan dengan tujuan ia diciptakan, maka cinta itu akan musnah dan memusnahkan. Keindahan cinta itu akan pudar dan tercalar.

Ketika itu hiduplah kedua-duanya (suami dan isteri) dengan perasaan yang hambar dan tawar. Tanpa cinta, manusia akan “bertukar” sama ada menjadi haiwan ataupun robot yang tidak punya rasa kemanisan lagi – bukan sifat-sifat luarannya, tetapi sifat-sifat dalamannya. Hidup berumah tangga tanpa cinta umpama kapal yang belayar tanpa angin. Keserasiannya mudah retak. Hanya kerana kesalahan yang sedikit, perbalahan dan krisis mudah berlaku. Keadaan rumah tangga pada waktu itu boleh diumpamakan sebagai “hidup segan, mati tak mahu”.

Memang, pada usia empat puluhan dan ke atas (dalam sesetengahnya keadaan lebih awal lagi), suami isteri akan dilanda satu krisis tabii yang dinamakan oleh pakar-pakar psikologi sebagai krisis pertengahan umur. Pada waktu itu hormon testosteron akan berkurangan seiring berlakunya beberapa perubahan yang “mengejutkan”.

Lelaki Andropaus

Kaum lelaki akan mengalami fasa andropous yang mengakibat kurang daya rangsangan seks, cepat rasa letih, perubahan emosi seperti cepat marah,cepat merajuk, mudah rasa tertekan dan “mood” yang berubah-ubah. Pada waktu inilah lelaki akan diserang oleh pelbagai rasa yang meresahkan. Antaranya ialah dia mula berasa tidak bahagia dengan hidup dan gaya hidupnya sendiri.

Manakala secara interpersonal dia mula berasa bosan dengan individu-individu yang berada di sekelilingnya. Dari sudut kerjaya dan hobi, tiba-tiba ada bidang lain yang menarik minatnya. Dia seolah-olah menjadi remaja buat kali kedua walaupun dalam keadaan tenaga dan upaya semakin menyusut.

Lelaki andropaus juga dilanda penyesalan tentang pilihan-pilihan yang telah dan pernah dibuatnya dalam hidup. Mengapa aku memilih yang ini, tidak yang itu? Sampai pada satu tahap, dia berasa marah dengan isterinya dan rasa terikat dengannya. Dan paling menggerunkan apabila mula timbul keinginan untuk menjalinkan hubungan baru. Jangan terkejut jika pada usia ini lelaki yang selama ini “pijak semut pun tak mati” pun akan berlaku curang!

Wanita Menopaus

Bagi kaum wanita pula, mereka akan mengalami fasa menopaus. Tahap ini juga melibatkan perubahan fizikal, tingkah laku, emosi dan kejiwaan. Perubahan ini boleh menghala kepada kebaikan, mahupun sebaliknya. Wanita yang mengalami fasa ini akan terdorong untuk lebih berdikari dan mandiri. Fokusnya lebih kepada keakuannya. Dia ingin memiliki kemampuan kewangan sendiri, hobi dan objektif sendiri dan pelbagai lagi yang “sendiri”. Pada waktu itu ada wanita yang mengejar kembali atau “qada” semula apa yang tidak dapat dicapainya semasa muda.

Walau apa pun krisis yang melanda diri suami dan isteri, Islam punya cara untuk menangani krisis pertengahan umur. Islam adalah agama fitrah yang mampu menghadapi perubahan dalam fitrah kehidupan berumah tangga. Selagi berpegang kepada aqidah, syariat dan akhlak islamiah lelaki andropaus dan wanita menopaus akan dapat mengawal perubahan biologi mahupun psikologi ke arah kebaikan.

Hakikatnya, siapa kita sewaktu tua dicorakkan oleh masa muda kita. Jika cinta kita dibina atas tujuan beribadah, maka tujuan itu mampu mempertahankan kita daripada landaan godaan, cabaran dan masalah yang datang bersama krisis pertengahan umur. Jika pangkal jalan kita benar, betul dan kukuh maka mudahlah kita kembali ke pangkal jalan itu apabila dirasakan ada yang tersasar di pertengahan jalan kehidupan itu.

Suami andropaus dan menopaus hakikatnya diuji dengan keegoan (ketakburan). Sama-sama ego. Cuma selalunya ego lelaki lebih terserlah, manakala ego wanita lebih tersembunyi. Ego itulah yang menyebabkan suami merasakan dirinya lebih baik, gagah dan berupaya sehingga mula menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Ego itulah yang menyebabkan isteri mula berasa kuat dan mampu melalui kehidupan tanpa bersandar lagi kepada pandangan dan pimpinan suami. Dan ego itulah juga yang menyebabkan kedua-duanya melakukan aktiviti atau tindakan yang bertentangan dengan syariat.
Penyakit Ego

Ego dengan manusia berpunca daripada ego kepada Allah. Orang yang besar diri sebenarnya tidak mengenal kebesaran Allah. Jika Allah “dibesarkan” dalam dirinya, nescaya terasa kerdillah diri dan dengan itu seseorang manusia akan mudah berhubung dengan manusia lain. Kenal Allah juga akan membuahkan rasa cinta kepada-Nya. Dan cinta kepada Allah itulah sumber cinta kita sesama manusia. Gugurlah tiga ciri ego – berasa diri lebih baik, memandang hina orang lain dan menolak kebenaran daripada diri suami dan isteri. Dan dengan itu, mudahlah mereka berdua menghadapi krisis pertengahan umur.

Jadi, sangat penting dijaga niat dalam membina cinta dalam rumah tangga. Ia hakikatnya satu hijrah dari alam bujang ke alam perkahwinan dan hijrah itu mestilah didorong oleh niat yang baik, benar dan betul. Berniatlah berkahwin kerana Allah, kerana itulah pangkal jalan yang dapat kita susuri kembali apabila bertembung dengan masalah dalam kehidupan berumah tangga pada awal, pertengahan atau di hujungnya nanti. Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. bahawa seseorang akan mendapat ganjaran atau balasan mengikut apa yang diniatkannya.

Bagaimana pula dengan pasangan yang telah terlajak? Maksudnya, mereka yang berkahwin tanpa sedikit pun terniat kerana Allah? Yang berkahwin hanya atas dorongan fitrah dan dilangsungkan atas dasar adat bukan ibadat? Perlu diingat, tidak ada istilah terlambat dalam melakukan satu kebaikan. Selagi ada nyawa di badan, maka selagi itulah kita mampu membetulkan atau memperbaharui niat dalam perkahwinan. Bertaubatlah atas niat yang salah dan sebagai gantinya, binalah niat baru yang lebih benar dan jitu.

Gelanggang Ibadah

Katakan pada diri bahawa rumah tangga ini pada hakikatnya ialah gelanggang untukku dan pasanganku serta seluruh anggota keluargaku untuk beribadah kepada Allah. Ibadah bukan sahaja terbatas kepada solat, puasa, haji, zikir dan sebagainya. Tetapi semua tugas menyelenggarakan sebuah keluarga juga dikira sebagai ibadah. Suami yang mencari rezeki yang halal, mendidik isteri, membimbing anaknya adalah suami yang sedang beribadah kepada Allah.

Begitu juga isteri yang memasak, mencuci pakaian, menjaga anak-anak ialah juga isteri yang hakikatnya sedang beribadah kepada Allah. Selagi semua anggota keluarga beribadah dan rumah tangga dijadikan gelanggang ibadah, maka akan wujudlah ketenangan, kemesraan dan kasih sayang sesama mereka.

Katakan juga bahawa rumah tanggaku akan hancur sekiranya ia tidak lagi menjadi gelanggang ibadah buat seluruh anggota keluargaku. Aku, pasanganku dan anak-anak yang bertindak bertentangan dengan tujuan kami diciptakan akan merobohkan syurga yang indah ini.

Memang pada awal rumah tangga dibina segalanya akan nampak indah. Ini kerana segala-galanya terbina di atas fitrah… Maksudnya semua manusia secara fitrahnya (instinct) inginkan cinta. Seorang lelaki inginkan kasih sayang seorang isteri dan begitulah sebaliknya. Tetapi cinta yang  berasaskan fitrah sahaja tidak cukup untuk mempertahankan keharmonian dalam sebuah rumah tangga.

Fitrah perlukan syariat. Syariat itu ialah peraturan Allah. Melaksanakan syariat itulah ibadah. Syariatlah yang mengatur, menyubur dan mengawal fitrah. Allah yang mengurniakan cinta dan Allah jualah yang menurunkan syariat untuk mengawal dan menyuburkannya. Jika tidak, cinta akan tandus. Kasih akan pupus. Sama ada dalam diri lelaki andropaus mahupun wanita menopaus.

Ingatlah bahawa cinta itu adalah rasa. Ia tidak terbina oleh urat, daging dan tulang. Tetapi ia rasa yang terbina di hati. Di daerah rasa, tidak ada tua atau muda. Tidak ada permulaan, pertengahan atau pengakhiran. Di hati yang beriman, tetap ada cinta. Cinta tetap muda walaupun yang bercinta telah tua… justeru cinta itulah yang membentuk hati yang sejahtera, bekal kita ke alam syurga!

‘FRUST’ DALAM BERCINTA


‘FRUST’ DALAM BERCINTA

07MAC
Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.
Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:
“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”
Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: “Dunia akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya.”Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.
(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang ‘frust’ dalam bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani ‘memperkosa’ kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara yang paling kejam.
Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?
Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).
Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.
Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah,  ” Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.”
Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.
Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, “mengapa aku terpaksa menanggung derita ini.”Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter… ter… segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, “ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?”
Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi (merak kayangan). Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada… kita masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, “Tuhan ada!” Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!
Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.
Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.
Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…
Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, “Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!” Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!
Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama ‘orang’ yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya. “Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu.” “Allah ganti yang lebih baik.” “Tak sangka, kami akan serasi begini.” Begitulah suara-suara ‘testimonial’ daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).
Ya, pada waktu ‘terkena’ dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!
Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai ‘mata rantai’ yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.
Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.
Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu faham ‘pelajaran’ yang dibawa bersamanya. Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan besar kita akan ‘frust’ berkali-kali.
Semasa kita di peringkat remaja ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya? Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap remaja. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ di alam remaja terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti siswa atau siswi yang terpaksa ‘refer’  atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan mereka.
Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I’m not a girl but not yet a women)  Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.
Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam lagi.  Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah satunya frust dalam bercinta.
Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.
Jadi langkah pertama supaya remaja‘lulus’ dalam pelajaran mereka ialah  mereka perlu akur bahawa setiap yang berlaku di alam remaja ada unsur pengajaran dan didikan buat mereka. Frust cinta hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri, “apakah pelajaran yang disebalik semua itu.” Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Tuhan. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehanah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sebarang manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap. Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.
Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’ di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? Tujuan utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati ‘kekasih hati’ agar dia sentiasa setia.
Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata,“we cannot  direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.
Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri. Dia seolah-olah ingin jadi ‘Tuhan”. Dia ingin semua keinginannya tercapai. Mustahil, manusia hakikatnya lemah. Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan mampu!
Ringkasnya, ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna remaja gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan mereka. Frust cinta, hakikatnya adalah ujian yang ingin merubah kita untuk mula mencintai Allah.
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan… Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula. Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.
Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa remaja lagi, supaya anda tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia tua. Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start living, “jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.
Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah. Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan…
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan ‘cuaca’ kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!
Sematkan di hati kata pujangga ini:Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!”

HIDUP SELAGI HIDUP…


HIDUP SELAGI HIDUP…

13JUN

Kita wajar meraikan kepelbagaian. ‘Kek’ dakwah ini perlu diluaskan. Mudah-mudahan di mana pun jua kita, dakwah melalui penulisan ini dapat diteruskan… umpama air yang sentiasa mengalir, umpama asap yang terus meresap. Lalu apakan daya, saya cuba membongkar kembali tulisan lama-lama. Saya cuba ketengahkan jua kerana merasakan mesejnya sentiasa baru.  Salah satunya tulisan ini…

HIDUP SELAGI HIDUP!  

Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya.

Maka begitulah dalam menghadapi ujian hidup… kita tidak akan bimbang sekiranya iman di hati tetap mantap. Diri  tidak akan hilang kawalan. Kita akan terus menghadapi segalanya dengan penuh keyakinan. Berpegang kepada prinsip:
“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.”

Dengan iman, kita punya keberanian – hidup selagi hidup! Kita tidak, kita akan menjadi umpama bangkai bernyawa, yang hidup segan, mati tak mahu. Tanpa iman, kita menjadi pengecut – menjadi orang yang berani mati kerana takut hidup… membunuh diri! Dikebumikan pada tahun ini tetapi hakikatnya telah mati lima tahun yang lalu!

Justeru, iman adalah sumbu kehidupan, harta yang tidak dapat dinilai. Sumayyah sanggup berkorban nyawa demi iman. Bilal sanggup disiksa kerana iman. Sayidina Abu Bakar telah mengorbankan seluruh hartanya demi iman. Bagaimana dengan kita? Sanggupkah kita mengorbankan segala-galanya untuk mendapat iman? Mari kita muhasabah…

Bagaimana ketika kita dibangunkan dari tidur yang lena untuk bangun mengerjakan solat Subuh? Lesu atau bersemangat? Sanggupkah kita mengorbankan masa untuk mendengar kuliah agama buat menjana iman? Bandingkan dengan masa yang kita berikan untuk hiburan yang melalaikan? Tanyakan kepada diri ke manakah harta, tenaga dan masa telah kita berikan… ke jalan iman atau sebaliknya?

Kalaulah ditanya manakah yang lebih berharga? Iman atau harta? Tentu kita menjawab iman. Tetapi mungkin itu hanya kata-kata. Benarkah itu juga yang kita rasa? Iman sebenarnya lebih berharga daripada mutiara. Malah jika dikumpulkan seluruh isi langit dan bumi ini, maka kita dapati iman tetap lebih berharga. Harta akan musnah jika tidak dibelanjakan ke jalan Allah, namun iman kekal sampai membawa kita ke syurga.

Tetapi bak kata pepatah, “hanya jauhari mengenal manikam” – maksudnya hanya orang yang berilmu  sahaja yang menyedari tentang agungnya nikmatnya iman. Sijahil tidak akan menghargai nikmat iman, sama seperti sibuta yang yang tidak dapat melihat cahaya atau kera yang disuguhkan bunga!

Iman sangat berharga sama ada di dunia  mahupun di akhirat. Sesiapa saja yang memiliki iman di dada, dia akan mendapat ketenangan, keharmonian dan kebahagiaan dalam hidup. Sesiapa pula yang memiliki iman di akhirat, dia akan mendapat hati yang sejahtera. Dia akan dapat keredhaan dan keampunan-Nya. Juga dia akan mendapat syurga Allah swt.

Dengan adanya nikmat iman, barulah nikmat-nikmat yang lain berguna. Jika ada iman di dada, nikmat harta akan menjadikan seseeorang itu hamba Allah yang pemurah. Dia akan merasakan harta itu adalah amanah dari Allah. Lantas, harta itu tidak akan dibelanjakan ke jalan kejahatan dan kemungkaran. Sebaliknya, akan digunakan ke arah kebaikan.

Seorang yang beriman, akan menggunakan nikmat ilmunya ke arah kemajuan dan kebaikan. Dia akan mengajar orang lain dan mencipta rekaan-rekaan yang memudahkan kehidupan masyarakatnya. Dengan iman, seseorang tidak akan menjadi penipu, penzalim dan pemusnah dengan ilmunya. Ya, bila ada iman kita seolah-olah memiliki segala-galanya. Sebaliknya jika hilang iman, kita hilang segala-galanya.

Jadi apa sebenarnya  iman ini sehingga ia dianggap begitu berharga? Iman sebenarnya bukanlah sekadar ucapan. Iman adalah kepercayaan dalam hati, yang diucapkan dgn lidah. Jika hanya ucapan, tetapi tidak dengan keyakinan, itu munafik (berpura-pura). Jika hanya ada ucapan dan keyakinan tetapi tidak ada tindakan (amalan), itu fasik (berdosa).

Memanglah menjadi sunnatullah dan peraturan dalam hidup ini, semua benda yang berharga memang payah untuk dicari. Contohnya pasir, mudah untuk kita mendapatkannya. Di mana-mana pun ada pasir. Tetapi jika hendak mencari mutiara, kita perlu menyelam hingga ke dasar lautan. Mencari dan menggali, membersihkan barulah ditempa sehingga menjadi mutiara yg bersinar dan cantik.

Berbagai-bagai jawapanlah yang kita dengar. Ada yang mengatakan, dia boleh mewarisi iman daripada bapanya yang warak. Ada yang berbangga dengan datuknya yang warak. Ada yang mengatakan dia boleh mendapatkan iman melalui pembacaan atau melalui ilmu pengetahun. Apakah begitu mudah? Mari kita susuri realitinya…

Oleh kerana iman itu berharga ibarat mutiara, memanglah sukar untuk mendapatkannya. Jadi kita kena berusaha mencari dan terus mencari. Kita memang tidak nafikan, doa si ayah atau si datuk yang bertaqwa memang ada kesannya. Namun itu bukan cara yang utama untuk mendapatkan iman.

Lihatlah sejarah Nabi Nuh a.s. Baginda seorang Nabi yang mengajak semua keluarganya untuk beriman kepada Allah swt. Namun si isteri dan seorang anaknya engkar. Malah mereka mengganggap Nabi Nuh gila kerana membina sebuah bahtera besar di atas bukit yang tinggi. Walau nyawa sudah di hujung tanduk ketika tenggelam dalam banjir, mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah atau mengikut ayah mereka Nabi Nuh.

Jika kita mengatakan boleh mendapat iman melalui ilmu atau pembacaan, itu juga  kita tidak nafikan. Namun mengapa ramai orang yang memiliki ilmu setaraf professor pun masih melakukan kemungkaran? Oleh itu, penting bagi kita mencari iman sebagaimana cara generasi awal Islam mencarinya. Mereka ‘mencari’ iman dengan berfikir, berzikir, bermujahadah dan melaksanakan syariat (peraturan) Allah.

Firman Allah swt:
“ yakni orang yang mengingati Allah (berzikr) ketika berdiri, duduk, berbaring dan sentiasa berfikir tentang tentang kejadian langit dan bumi lantas berkata, “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau ya Allah, selamatkanlah kami dari api neraka.”

Al-Imran: 191

Para sahabat mendapat iman dengan melihat alam, binatang, tumbuhan, hujan dan sebagainya. Mereka melaksanakan apa yang didorong oleh Allah menerusi firman-Nya:

“Maka apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana unta diciptakan, dan langit, bagaimana ia ditinggikan.”

                                                                                    Al-Ghaasyiyah: 17-18

Apabila mereka melihat semua itu mereka berfikir… dan akhirnya tiba pada satu kesimpulan bahawa tidak mungkin semua itu terjadi dengan sendirinya. Pasti ada yang menjadikannya. Jika matahari hebat, tentu Pencipta matahari lebih hebat. Jika alam ini indah, tentulah Penciptanya lebih indah.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan mereka terus berzikir (mengingati) Allah. Mereka merasai Allah itu Maha Besar, Maha Suci, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna. Mereka merasakan bahawa zat yang mencipta matahari, bulan, bintang dan semesta alam ini mestilah dipatuhi perintah-Nya dan dijauhi larangan-Nya. Lalu merekapun melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah. Mereka bersolat, berpuasa, meninggalkan zina, arak dan lain-lain.

Walaupun kekadang, yang ditegah Allah itu sesuatu yang disukai, manakala yang disuruh pula dibenci, namun mereka melawan kehendak diri sendiri demi mentaati perintah Allah. Berlaku ‘peperangan’ di dalam diri mereka sendiri – antara apa yang mereka ingin, dengan apa yang diingini Allah. Peperangan inilah yang dikatakan mujahadah atau berjuang sepenuh jiwa untuk mematuhi perintah allah. Hasil mujahadah ini, iman mereka bertambah dan akhirnya mereka merasakan kemanisannya. Firman Allah:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan”